Air pasang besar di Port Dickson terkawal: APM
SEREMBAN - Fenomena air pasang besar yang melanda pesisiran pantai di Port Dickson sejak semalam dilaporkan terkawal susulan cuaca panas dan tiada sebarang limpahan air yang berlaku sehingga boleh mengakibatkan kejadian banjir.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, bagaimanapun, sekiranya berlaku hujan lebat yang berpanjangan, beberapa kawasan berkemungkinan akan ditenggelami air terutama di kawasan rendah.
“Air pasang besar ini biasanya berlaku dalam tiga hari dan sepanjang bulan akan ada, ia bergantung kepada ketinggian air pasang. Kalau kita tengok air pasang kali ini agak tinggi berbanding bulan sebelumnya tetapi buat masa ini keadaan terkawal kerana cuaca panas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, sekiranya berlaku hujan lebat, APM akan menempatkan anggota bagi memastikan keadaan pengunjung dan penduduk setempat selamat, namun pada masa ini tiada keperluan untuk menempatkan anggota untuk tujuan pemantauan.
“Kalau dapat ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia akan berlaku hujan, kita akan maklumkan kepada anggota untuk siap sedia terutama di beberapa kawasan panas seperti di Kampung Sungai Raya, Linggi dan Kampung Jimah Lama di sini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, fenomena air pasang besar itu juga turut membantu memudahkan kerja pembersihan tumpahan minyak yang berlaku di Pantai Cermin di sini baru-baru ini.
“Bila ada air pasang besar dengan ombak yang kuat, ia akan membantu kerja pembersihan pantai dengan baik kerana minyak akan cepat terurai selain turut dibantu cuaca panas,” katanya.
Pada 12 Oktober lepas, media melaporkan kawasan pesisiran Pantai Cermin sejauh dua kilometer didapati tercemar dengan tumpahan minyak dan insiden itu mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meninjau lokasi berkenaan pada Selasa lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!