Sempat buat panggilan video sebelum ditemukan mati
JOHOR BAHRU - Pekerja Malaysia di Singapura yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah apartment di republik itu, Khamis lalu sempat membuat panggilan video bersama isterinya beberapa jam sebelum kejadian.
Isteri mangsa, yang mahu dikenali sebagai Uma, 35, berkata, suaminya berusia 36 itu tidak menunjukkan perubahan atau berperangai pelik ketika membuat panggilan video tersebut menyebabkan wanita itu keliru apabila kematian suaminya dikaitkan dengan tindakan bunuh diri.
Menurutnya, suaminya tidak mempunyai sebarang masalah termasuk kewangan dan hutang dengan ah long atau menghadapi tekanan di tempat kerja sehingga menimbulkan dakwaan mangsa dikatakan membunuh diri.
"Saya keliru dengan cara kematian suami sedangkan dia baik-baik sahaja ketika berbual dengan saya dan anak sebelum dia ditemukan meninggal dunia. Cuma beberapa jam kemudian bercakap di telefon, dia ada menghantar mesej nombor kecemasan yang perlu kami hubungi jika berlaku sebarang kejadian terhadapnya.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga menyerahkan kepada polis Singapura untuk menyiasat dan melihat sebarang kemungkinan punca kematian suami," katanya ditemui di rumahnya di Taman Kobena di sini hari ini.
Kelmarin tular dalam media sosial apabila mangsa yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat kurier di Bukit Batok ditemukan terbaring di bawah apartmen.
Pekerja berkenaan meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan, Yogashini, 4, disemadikan dengan upacara keagamaan Hindu di sini, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Terjun bangunan kerana terlalu rindu anak, isteri
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Petugas Khas Pekerja Malaysia di Singapura (Pemas), S Dayalan berkata, pihaknya menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mewujudkan satu jawatankuasa siasatan khas susulan kejadian kematian membabitkan pekerja Malaysia di negara itu.
Katanya, ini termasuk kejadian dua kes bunuh diri yang berlaku sejak pandemik koronavirus (Covid-19) melanda selepas pintu sempadan Malaysia-Singapura ditutup.
"Perkara ini kena siasat, mengapa mereka bunuh diri? Adakah sebab tertekan hidup dibuang kerja atau tekanan beban kerja di sana," katanya.
Sebelum ini, bekas tukang masak menggantung diri di kediamannya di Kluang manakala kes kedua pula membabitkan rakyat Malaysia yang bekerja sebagai polis bantuan di negara itu yang dikatakan menembak diri sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!