Bus Stop Alor Gajah tular gara-gara Mira Filzah
BIARPUN drama Pujaan Hati Kanda sudah melabuhkan tirainya menerusi episod terakhir Isnin lalu, namun kehangatan drama ini tetap dirasai, malah apa sahaja perkara berkaitan pelakon terutama teraju utamanya mudah menarik perhatian ramai.
Terbaru sebuah pondok menunggu bas di Alor Gajah, Melaka tiba-tiba menjadi tular gara-gara, heroin drama tersebut, Mira Filzah menerusi Instagram miliknya telah berkongsi gambarnya ketika berada di lokasi tersebut awal bulan ini.
Disebabkan gambar yang dikongsi Mira itu, ramai peminat yang mula mencari pondok bas terbabit untuk bergambar kenangan sebagaimana yang dilakukan pelakon itu.
Selepas gambar tersebut tular dan menjadi perhatian ramai, pondok menunggu bas terbabit telah dibaik pulih dan dicantikkan semula oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG). Apa yang menariknya, pondok menunggu bas itu kemudiannya diletakkan dengan papan tanda ‘Mira Filzah Was Here’ sebagai tarikan.
Tourism Melaka menerusi laman Facebook mereka juga turut berkongsi beberapa keping gambar yang menyaksikan beberapa kakitangan sedang melakukan kerja pembaikan.
Dalam pada itu, Mira yang ditemubual oleh penyampai Radio Era, Ray dan Haniff menerusi slot Pagi Era, memberitahu gambar tersebut dirakam secara spontan ketika dalam perjalanan pulang ketika berjumpa ibunya yang bertugas di sana.
“Sebenarnya Mira tak ada shooting pun kat sana, cuma kebetulan singgah di pondok menunggu bas berkenaan ketika dalam perjalanan pulang berjumpa dengan ibu Mira yang kerja kat sana.
“Pondok bas tu menarik perhatian Mira kerana nampak comel dan unik. Jadi Mira berhentilah untuk ambil gambar.
“Sebenarnya Mira memang selalu juga ambil gambar di tempat macam ni, tapi di KL. Jadi ia nampak biasa sajalah. Tapi bila kali ni lokasinya di luar KL, mungkinlah ia nampak unik sedikit,” ujar Mira.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!