PGA9 rampas 20 ekor lembu seludup

PGA9 merampas 20 ekor lembu yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran di Kampung Kubang Kual dekat Rantau Panjang, Pasir Mas awal pagi semalam. - Foto Bernama
PGA9 merampas 20 ekor lembu yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran di Kampung Kubang Kual dekat Rantau Panjang, Pasir Mas awal pagi semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasukan anggota Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 20 ekor lembu yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran di Kampung Kubang Kual dekat Rantau Panjang, Pasir Mas awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan dilakukan anggota ‘Strike Force’ PGA, yang membuat rondaan sempena Op Benteng Covid.

Menurutnya, ketika rondaan dilakukan pegawai dan anggota Strike Force Kompeni ‘B’ PGA9 telah terserempak dengan sebuah lori yang bertutup dengan kanvas dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3.30 pagi.

“Anggota Strike Force kemudiannya menahan lori itu bersama pemandunya yang berumur 30-an untuk pemeriksaan.

“Hasilnya pemeriksaan mendapati ada 20 ekor lembu di bahagian belakang lori dan pemandunya gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan berkaitan lembu yang dibawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, lembu dan lori yang dirampas, dianggarkan bernilai RM230,000.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua lembu itu diseludup masuk dari Thailand melalui Sungai Golok untuk pasaran tempatan.

“Seterusnya pihak PGA9 bertindak menahan pemandu dan lori serta barang kes dan bawa balik ke Komtak Taman Bakti, Rantau Panjang, untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

“Kes diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar dan akan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

Nor Azizan berkata, pihaknya percaya kesemua lembu yang dirampas dibawa lebih awal ke sini dan telah disembunyikan di kawasan semak.

Katanya, lembu itu biasanya akan dipindahkan ke lokasi lain dalam tempoh yang singkat, sebaik merasakan tiada halangan daripada pihak berkuasa seperti di awal pagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!