Bendera rasmi Agong berkibar di Istana Sultan Pahang

Bendera peribadi Al Sultan Abdullah diturunkan dan dinaikkan dengan bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong ke 16, di kediaman baginda di Istana Abdul Aziz di sini tepat jam 12 tengah malam, tadi.
Bendera peribadi Al Sultan Abdullah diturunkan dan dinaikkan dengan bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong ke 16, di kediaman baginda di Istana Abdul Aziz di sini tepat jam 12 tengah malam, tadi.
A
A
A

KUANTAN - Penurunan bendera peribadi Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Riayatullah Almustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah merupakan simbolik permulaan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula hari ini.

Tepat jam 11.45 malam bendera peribadi Sultan Pahang telah diturunkan oleh seorang pegawai dan 13 anggota Provos Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.

Bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong juga telah dinaikkan tepat jam 12 tengah malam tadi, di kediaman rasmi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz di sini.

Bendera itu dinaikkan seorang pegawai dan dua anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan di Kem Batu 10 di sini sambil diiringi lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan pancaragam dari Pusat TUDM Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini dengan disaksikan Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) seperti termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, istiadat memuliakan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Abdul Aziz akan bermula jam 6.30 pagi ini.

Istiadat berkenaan akan dimulakan dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Exco kerajaan negeri.

Al Sultan Abdullah akan berangkat ke Pangkalan Tentera Udara di sini pada jam 7 pagi dan dijangka disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama ATM yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das akan dilakukan ATM sebelum ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memeriksa kawalan kehormatan.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan selepas itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, akan membacakan doa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Mainunah kemudian akan menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya KLIA pada jam 7.50 pagi.

Setibanya di Kompleks Bunga Raya KLIA kira-kira jam 8.30 pagi, baginda akan disambut oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datin Seri Norizam Che Mohd Nor dan barisan pegawai kanan kerajaan sebelum menaiki kenderaan menuju ke Dataran Parlimen kira-kira jam 8.50 pagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan baginda yang dijangka tiba di Dataran Parlimen kira-kira jam 9.30 pagi.

Tiupan nafiri akan mengiringi baginda menuju ke pentas diraja sambil diiringi Pasukan Pengawal Tombak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri pengiring.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ (lagu Negaraku dimainkan) oleh Pancaragam ATM, serentak itu bendera peribadi Yang Dipertuan Agong ‘dipecahkan’ (dari kedudukan berlipat di tiang kepada berkibar) di sebelah kanan pentas diraja dan tembakan meriam 21 das dimulakan.

Ketua Kawalan Kehormatan kemudian akan tampil menghadap memohon perkenan baginda memeriksa kawalan kehormatan utama, diikuti memberi perintah ‘kalih senjata’ untuk menukarkan senjata ke tangan kiri dan bersedia bagi bacaan doa yang akan disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selepas itu, baginda akan berangkat ke Istana Negara dengan menaiki kereta diraja pada jam 10 pagi untuk mengangkat sumpah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!