Covid-19: Malaysia berjaya turunkan kadar kebolehjangkitan

Kelihatan setiap premis perniagaan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan seperti menyediakan alat pembaca suhu, cecair pembasmi kuman, dan memastikan pelanggan mengamalkan penjarakan fizikal. -Foto Bernama
Kelihatan setiap premis perniagaan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan seperti menyediakan alat pembaca suhu, cecair pembasmi kuman, dan memastikan pelanggan mengamalkan penjarakan fizikal. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia telah berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September lepas kepada 1.3 hingga 1.5 sekarang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini bermakna usaha yang diambil kerajaan setakat ini telah dapat mengelakkan peningkatan kes secara mendadak.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, jika dilihat kepada jumlah kes positif harian Covid-19 sejak beberapa hari lepas dan unjuran kes pada masa akan datang, pihaknya menjangkakan R0 kekal dalam lingkungan 1.5.

Beliau berkata oleh itu, dijangkakan kes harian Covid-19 masih meningkat namun bukanlah secara mendadak.

“Unjuran ini amat penting kerana ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi kita berusaha mengawal situasi gelombang ketiga ini.

“Segala usaha di Kesihatan Awam di lapangan mesti diteruskan dan dilipatgandakan, kawalan pergerakan harus diperketatkan dan rakyat perlu membantu negara dengan duduk di rumah,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, nilai R0 merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara purata berapa ramai individu yang boleh dijangkiti kes positif atau hos virus tersebut.

Beliau berkata R0 boleh menurun jika langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan bagi membendungnya.

Artikel Berkaitan:

“Menurunkan nilai R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham merayu agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha memerangi Covid-19 dengan duduk di rumah jika tiada urusan di luar dan mematuhi SOP ditetapkan sekiranya perlu keluar rumah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!