Kisah Abdul Halim Teng

A
A
A

BEBERAPA hari lepas, sahabat saya, Abdul Halim Teng telah menyambut ulang tahun ketiga dirinya mengucapkan dua kalimah syahadah dan menjadi seorang Muslim. Mungkin ramai yang tidak mengenalinya. Maklumlah, dia bukan pendakwah selebriti yang sering muncul di kaca televisyen mahupun bersiaran di radio.

Abdul Halim Teng yang kini berusia 35 tahun memeluk Islam pada usia 32 tahun. Tarikh dia memeluk Islam kebetulan sama dengan tarikh lahir ibu kesayangannya. Dia merupakan anak sulung daripada lima beradik dan satu-satunya anak lelaki. Setiap kali berdoa, dia menangis dan berharap agar dikurniakan cahaya Islam kepada ayah dan ibunya, juga datuk serta empat orang adiknya.

Sejak bergelar Muslim, dia aktif berdakwah hingga sering ditanya oleh sahabat Muslim mahupun yang bukan Muslim, mengapa dirinya gigih menyebarkan Islam terutamanya dalam program Street Dakwah.

Ibu dan adik-adiknya juga sering bertanya apa yang dia dapat daripada usaha dakwah yang dilakukannya selain daripada ‘menjadi Melayu’ kerana kulitnya pun semakin gelap dek kerana sering berada di lapangan. Sahabat bukan Islam turut bertanya adakah dia mendapat bayaran atau elaun yang tinggi sebagai ganjaran bagi menjalankan kerja dakwahnya.

Dalam hati kecilnya, hanya ada satu jawapan. Jika bukan dirinya sendiri yang menyampaikan syiar Islam, siapa lagi yang akan berjuang untuk menyelamatkan insan-insan yang disayanginya daripada api neraka?

Pun begitu, Abdul Halim Teng sedar hidayah itu milik ALLAH SWT. Selain menyampaikan dakwah, apa yang dia mampu buat adalah mempelajari, memahami serta mengamalkan ajaran Islam dengan sebaik-baiknya agar orang kesayangannya dapat melihat perbezaan hidup serta tingkah lakunya sebelum dan selepas memeluk Islam.

Setiap saat dan ketika, Abdul Halim Teng sentiasa berdoa agar ALLAH SWT mengurniakan hidayah kepada semua yang disayanginya. Dia juga sering mengajak sahabat-sahabat mualaf yang lain agar sama-sama berjuang dalam bidang dakwah kerana dunia ini hanyalah sementara. Jika diambil kira umur purata manusia yang sekitar 60 tahun sahaja, sudah tidak banyak masa yang tinggal untuk kita.

Bagi Abdul Halim Teng, kebahagiaan yang paling besar adalah untuk bersama dengan insan-insan kesayangannya di syurga ALLAH SWT yang kekal abadi. ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Hadid ayat ke-20: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya).

Artikel Berkaitan:

“Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan daripada ALLAH (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”Semoga ALLAH SWT menerima segala usaha saudara Abdul Halim Teng. Ameen

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!