Rambut memang sama hitam
MANUSIA adalah ciptaan Tuhan yang unik dan mempunyai ciri-ciri tersendiri. Oleh yang demikian, setiap orang berbeza dalam pelbagai aspek sama ada keupayaan, pemikiran, kehendak mahupun pendapat. Seperti kata bidalan, rambut sama hitam, hati lain-lain, perbezaan ini turut mempengaruhi penilaian dan persepsi mereka terhadap sesuatu isu atau perkara.
Perbezaan individu penting untuk difahami dalam mengurus sesebuah organisasi berprestasi tinggi. Perbezaan individu mampu dijadikan suatu strategi ampuh bagi memantapkan daya saing organisasi secara keseluruhannya jika diurus secara bijak. Ia juga meninggalkan kesan kepada organisasi sama ada dari segi prestasi dan masa depan. Oleh yang demikian, sebarang tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan seperti memberikan arahan atau membentuk prosedur baharu, menaikkan ganjaran atau mengemukakan ancaman pemecatan perlu mengambil kira aspek perbezaan individu lantaran tindakan tersebut memberi kesan berbeza kepada setiap individu.
Teori perbezaan individu menyatakan bahawa manusia berbeza dari segi personaliti, keupayaan, nilai, persepsi dan sikap. Perbezaan itu menyebabkan kewujudan pelbagai komposisi sumber manusia dalam organisasi. Ia turut mempunyai pengaruh besar kepada gelagat sumber manusia. Pengetahuan tentang semua pemboleh ubah itu mampu memberi kefahaman kepada pengurus tentang masalah berkaitan sumber manusia seperti moral dan produktiviti rendah, kadar pusing ganti pekerja dan ketidakpuasan kerja yang tinggi.
Pertama, pemboleh ubah personaliti mungkin merupakan perkara utama yang akan menentukan gelagat individu. Apabila seseorang itu bersikap positif atau negatif terhadap sesuatu, ia menggambarkan personaliti individu tersebut. Kedua, keupayaan antara individu juga mempengaruhi bagaimana individu berkelakuan dalam organisasi. Walaupun seseorang itu bermotivasi tinggi, dia tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik kecuali dia memiliki keupayaan untuk melakukan tugas tersebut.
Sebaliknya pekerja yang memiliki keupayaan, tidak mampu melakukan tugas dengan baik sekiranya dia tidak dimotivasikan.
Ketiga, persepsi menghuraikan bagaimana individu melihat sesuatu secara berbeza. Beberapa individu mungkin bertindak balas terhadap rangsangan melalui deria yang sama, tetapi persepsi mereka terhadap rangsangan tersebut bergantung pengalaman lalu, keperluan dan personaliti masing-masing. Akhir sekali, sikap adalah kecenderungan awal untuk bertindak balas terhadap objek, manusia atau peristiwa secara positif atau negatif. Jadi, apabila seseorang berkata: “Saya sukakan/tidak pedulikan kerja saya” menggambarkan sikap mereka terhadap kerja.
Strategi
Terdapat beberapa strategi yang boleh diambil oleh pengurus bagi mengenalpasti perbezaan individu yang wujud dalam organisasinya. Pertama, dia boleh melakukan pemerhatian terhadap setiap ahli yang berada di bawah kawalannya. Pemerhatian yang dimantapkan oleh pengalaman pengurus dan penerimaan pekerja terhadap gaya kepimpinannya mengupayakan pengurus memahami dan merapatkan hubungan dengan pekerja.
Kedua, pengurus boleh mempelajari setiap pemboleh ubah yang mempengaruhi kelakuan individu. Pengetahuan itu memudahkan tugas seseorang pengurus menyediakan strategi yang mampu menjana perubahan positif dalam organisasinya. Akhirnya, pengurus harus cuba mengaitkan perhubungan antara pemboleh ubah perbezaan dengan kelakuan individu dalam organisasi. Titik perhubungan ini dapat membantu seseorang pengurus memimpin pekerjanya dengan lebih berkesan.
Kita secara umum telah mengakui bahawa setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri, dan tiada manusia yang sempurna. Bagaimanapun, setiap individu dituntut untuk berusaha menjadi yang terbaik berpandukan keupayaan dan kemampuan diri. Pemahaman kepada aspek perbezaan individu oleh pengurus membantunya menyerlahkan bakat sumber manusia organisasi serta meminimumkan masalah moral dan motivasi mereka. Ia seterusnya mencetuskan perasaan dihargai dan bernilai tinggi dalam kalangan pekerja yang mampu membawa modal insan organisasi ke satu tahap yang berbeza daripada sebelumnya.
Justeru, walaupun rambut sama hitam, hati dan perasaan perlu diurus secara berbeza.
*Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!