Permintaan CUEPACS wajar dipertimbangkan

No Image Caption
A
A
A

PERMINTAAN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar gaji dan pemberian bonus kepada penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021, bulan depan wajar dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Ini kerana penjawat awam adalah tunjang penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran negara terutamanya ketika Malaysia berdepan dengan ketidaktentuan politik dan juga musibah pandemik Covid-19.

Sebelum ini kita dapat saksikan apabila berlaku peralihan teraju pimpinan negara, pentadbiran negara berjalan dengan baik dan ia adalah hasil gerak kerja yang efisien ditonjolkan oleh penjawat awam.

Tanpa penjawat awam, sudah pasti negara akan menghadapi kesukaran terutama dalam soal menguruskan keperluan rakyat bermula daripada isu keselamatan, kesihatan, pendidikan hingga kepada soal rumah tangga.

Malah, ketika negara dilanda Covid-19, penjawat awam dilihat paling bertungkus-lumus, bersengkang mata dan berkorban jiwa raga untuk melawan pandemik berkenaan. Mereka juga sanggup mengetepikan nyawa dan kesihatan diri sendiri demi memastikan perjuangan mencegah pandemik dilaksanakan pada tahap terbaik.

Turut ditekankan oleh Presiden CUEPACS, Adnan Mat ialah penjawat awam semenangnya terkesan dengan situasi semasa negara dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kata Adnan, kali terakhir penjawat awam menerima bonus adalah pada tahun 2012 iaitu satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 dan selepas itu penjawat awam tidak lagi menerima sebarang imbuhan.

Sebaliknya bantuan khas kewangan yang diterima tahun-tahun sebelum ini adalah sebanyak RM500 menjelang perayaan dan RM500 menjelang pembukaan sesi persekolahan awal tahun.

Artikel Berkaitan:

Jika diukur permintaan CUEPACS dengan sumbangan oleh penjawat awam, seharusnya permintaan tersebut dipertimbangkan dengan sewajarnya supaya kualiti perkhidmatan mereka akan terus meningkat. Dengan khidmat cemerlang yang diberikan oleh penjawat awam, kesan positif akan turut diterima oleh rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!