Kerajaan perlu salur dana kecemasan untuk Sabah: MMA

Kerajaan Persekutuan disaran menyalurkan dana kecemasan bagi menangani situasi lonjakan kes Covid-19 yang semakin meruncing di Sabah. - Foto 123RF
Gambar kecil: Dr M Subramaniam
Kerajaan Persekutuan disaran menyalurkan dana kecemasan bagi menangani situasi lonjakan kes Covid-19 yang semakin meruncing di Sabah. - Foto 123RF Gambar kecil: Dr M Subramaniam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan disaran menyalurkan dana kecemasan bagi menangani situasi lonjakan kes koronavirus (Covid-19) yang semakin meruncing di Sabah.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr M Subramaniam berkata, dana tersebut diperlukan bagi menampung peningkatan permintaan bagi Pakaian Perlindungan Diri (PPE), peralatan perubatan, tambahan alat bantuan pernafasan, pusat kuarantin, pengangkutan serta elaun bagi sukarelawan yang bekerja sepanjang masa.

Menurutnya, dilaporkan pada 14 Oktober lalu, kadar penggunaan 1,018 katil di sembilan hospital terutama untuk pesakit Covid-19 di Sabah mencecah 71 peratus manakala 72 peratus penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di Sabah setakat semalam.

“MMA bimbang melihat jumlah harian kes dilaporkan dengan keadaan mungkin meningkat ke tahap kritikal lebih cepat daripada dijangkakan. Kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan itu dan bertindak segera.

“Kami percaya ada kemungkinan lebih banyak yang dapat dilakukan untuk memenuhi keperluan memerangi wabak itu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, wakil rakyat yang baru dipilih di negeri Sabah harus lebih terlibat dan bekerjasama rapat dengan jabatan kesihatan negeri bagi memastikan penduduk di kawasan masing-masing mendapat maklumat, berada dalam keadaan selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Usaha besar yang boleh dilakukan wakil rakyat untuk petugas barisan hadapan di Sabah adalah menyeru rakyat memberi kerjasama dengan duduk di rumah dan mematuhi SOP.

"Ini akan secara ketara membantu usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Subramaniam berkata, koordinasi yang lebih baik antara semua agensi juga diperlukan supaya keperluan negeri dapat dipenuhi di semua bidang dan semua bantuan daripada badan bukan kerajaan dan orang awam diselaraskan dengan baik bagi membantu usaha memerangi pandemik tersebut.

“Kami juga menggesa jawatankuasa pengurusan bencana Covid-19 Sabah untuk mendapatkan kerjasama hospital, klinik dan doktor swasta dalam membantu usaha memerangi wabak ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, persatuan itu baru-baru ini melancarkan kutipan Dana Covid-19 Sabah untuk membantu membeli peralatan dan bekalan perubatan serta PPE.

“Sumbangan boleh dibuat terus ke Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia di nombor akaun United Overseas Bank: 1063057741 (rujukan penerima: Sabah Covid).

“Semua derma melebih RM250 dikecualikan cukai. Untuk mendapatkan resit, penderma diminta e-mel kepada alamat mma_sbh@yahoo.com atau Whatsaap nombor 012-28055009 dengan slip pembayaran, nama penuh, alamat dan nombor telefon,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!