PH perlu bangkit dari 'bulan madu'
SHAH ALAM - Tempoh 'bulan madu' PH sudah berakhir selepas tewas dengan BN pada PRK Cameron Highlands baru-baru ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata, PH kini tidak boleh lagi bersenang-lenang sebaliknya perlu berhati-hati khususnya dalam aspek pemilihan calon bagi PRK Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac depan.
Beliau berkata, PH perlu melihat secara menyeluruh serta meneliti semula agenda besar mereka yang merupakan salah satu faktor dominan di Semenyih.
Selain itu katanya, PH juga bakal berdepan pelbagai isu, bukan sahaja di peringkat negeri malah nasional yang pasti akan dibangkitkan BN pada PRK tersebut termasuk cabaran untuk mengimbangi kedua-duanya.
Katanya, jika di Selangor khususnya Semenyih terdapat beberapa isu yang akan dilihat penting seperti industri kecil, pekerja asing, lesen niaga dan mungkin juga akan dibandingkan dengan program pernah dijanjikan sebelum ini.
Menurutnya, bagi mengimbangi semua perkara itu, PH dijangka akan menggunakan beberapa isu termasuk pemberian air percuma kepada golongan B40.
"Malah jika dilihat memang banyak inisiatif peduli rakyat (IPR) dilaksanakan PH antaranya program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss), Peduli Sihat, rumah mampu milik serta bas Smart Selangor.
"Semua ini akan memberikan kelebihan di peringkat negeri, tetapi sejauh manakah itu mampu mengimbangi isu nasional seperti kos sara hidup serta janji-janji manifesto yang masih belum ditunaikan PH?
"Isu janji-janji yang tak dipenuhi pentadbiran PH sudah pasti akan menjadi bahan utama BN terutamanya pada tempoh berkempen nanti," katanya kepada Sinar Harian.
Sivamurugan berkata, beliau turut menjangkakan isu sentimen agama juga akan dikaitkan pada PRK itu nanti seperti isu Penghapusan Segala bentuk Diskriminasi (ICERD), rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman serta kematian Muhammad Adib Mohd Kassim ekoran dalam konteks Semenyih, pengundi Melayu terdiri daripada 67.7 peratus, Cina (16.7 peratus) dan India (13.2 peratus).
Dalam pada itu, beliau berkata, PRK Semenyih juga bakal memperlihatkan pertembungan sengit antara PH dan BN.
Menurutnya, pada 2013, Pas menang di kawasan Parlimen Hulu Langat dan Dun Dusun Tua serta ditambah pula kolaborasi parti Islam itu dengan BN juga ketara selepas kemenangan di PRK Cameron Highlands.
"Sekiranya kolaborasi antara Pas serta BN berpanjangan, kita jangkakan peratusan keluar mengundi juga akan meningkat kerana Pas itu sendiri dilihat sebagai 'team maker' atau penentu.
"Jika hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu terus kukuh di Semenyih pasti akan memberi impak besar kepada PH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!