MATF perlu diperkasa gempur penyeludupan

PGA Batalion 7 bersama dengan rokok seludup yang berjaya dirampas mereka.
PGA Batalion 7 bersama dengan rokok seludup yang berjaya dirampas mereka.
A
A
A

MALAYSIA mencatatkan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua tahun 2020 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19), angka terburuk sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998.

Sejak itu, kerajaan telah mengumumkan pelbagai pakej rangsangan bagi memperkasakan semula ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menggariskan bahawa Bajet 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini memberi fokus kepada usaha menyelamatkan kehidupan rakyat serta membina momentum pemulihan dan ketahanan ekonomi.

Tengku Zafrul turut menyatakan kerajaan perlu mengoptimumkan kutipan cukai sedia ada dengan banyak ketirisan perlu ditutup, di samping mengkaji semula skop cukai dan kecekapan sistem percukaian sedia ada.

Malaysia kini berdepan dengan kerugian tahunan sebanyak RM5 bilion dari segi kutipan cukai akibat pasaran rokok seludup dan penyeludup telah mengambil kesempatan semasa tempoh PKP dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Penyeludupan adalah satu masalah yang besar. Sebanyak 60 peratus rokok di pasaran tidak bayar cukai bermakna enam daripada 10 rokok dijual secara tidak sah.

Kini dengan negara berusaha memulihkan ekonomi, perdagangan haram itu perlu ditangani dengan lebih serius.

Sudah semestinya semua pihak bersetuju bahawa hasil RM5 bilion yang hilang itu sepatutnya boleh digunakan bagi membantu negara membina semula ekonomi, termasuk membeli vaksin Covid-19 yang khabarnya bakal menelan kos berbilion ringgit.

Artikel Berkaitan:

Jadi apakah pilihan yang ada?

Pengarah Urusan Japan Tobacco International, Cormac O’ Rourke dalam satu wawancara berkata, faktor mampu beli adalah pendorong utama rokok seludup meningkat apabila cukai dinaikkan pada tahun 2015.

Dengan kata lain, katanya, berleluasanya rokok seludup adalah disebabkan dasar yang digubal dengan pandangan sempit dan aspek penguatkuasaan yang lemah.

O’Rourke turut menyentuh langkah Kementerian Kewangan menubuhkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) pada Januari 2020 bagi menangani krisis penyeludupan, dan telah bermesyuarat bulan lalu.

Antara agensi yang menganggotai MATF ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

“Persoalannya, apakah peranan masing-masing? Indeks Prestasi Utama (KPI) yang lebih kuat perlu diberikan kepada pasukan petugas ini, lebih-lebih lagi kastam. KPI ini hendaklah diumumkan kepada rakyat supaya ada ketelusan dan kewibawaan. MATF ini perlu diperkasa untuk menggempur aktiviti penyeludupan,” katanya.

Menurut Jabatan Kastam, kegiatan penyeludupan rokok di negara ini merangkumi tiga mod iaitu penyeludupan di laut, darat dan udara tetapi kebanyakan aktiviti berlaku di laut dan darat.

Berdasarkan senario, apabila Jabatan Kastam bertindak mengenakan lesen import (AP) bagi setiap kemasukkan dagangan ke negara ini, didapati berlakunya penyalahgunaan AP, contohnya AP minuman keras mahupun rokok.

Malah sering juga berlaku dalam AP import barang lain tetapi ikrar barang lain untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Terdapat juga penyeludupan rokok menggunakan borang K8 (transhipment) dengan menggudang barang di pelabuhan dengan tujuan dieksport tetapi barangan seludup itu dibawa keluar dari pelabuhan.

Ada juga yang menggunakan taktik pengikraran barang pindah dan barangan terpakai (used personal effects) tetapi membawa masuk rokok dan minuman keras untuk mengelakkan cukai.

Baru-baru ini, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu pihak polis telah mencadangkan agar kesalahan berkaitan penyeludupan seperti rokok dan arak diletakkan di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita telah kenal pasti ‘kepala’ sindiket penyeludupan ini tetapi untuk kaitkan dengan aktiviti penyeludupan ini adalah sukar. Justeru kita sudah cadangkan supaya kesalahan ini dimasukkan di bawah SOSMA,” katanya.

Berdasarkan carta Kajian Rokok Seludup oleh Nielsen, perdagangan rokok seludup melonjak selepas pertambahan cukai sebanyak 40 peratus ke atas rokok pada akhir 2015 (Lihat carta).

Bagi menangani masalah rokok seludup, pendekatan pelbagai serampang termasuk meningkatkan penguatkuasaan, pembaharuan cukai dan pendidikan kepada orang awam mengenai bahaya rokok seludup perlu dilakukan.

Walau bagaimanapun, peningkatan dagangan rokok seludup di Malaysia sejak beberapa tahun ini jelas menunjukkan penguatkuasaan sahaja tidak memadai untuk menghentikan permasalahan ini.

O’Rourke berkata, JTI tidak yakin penurunan cukai akan menyelesaikan masalah penyeludupan di Malaysia kerana semua jenama tidak sah diletakkan harga jauh rendah daripada paras harga minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Rokok sah sememangnya tidak akan diturunkan harga. Sejak peningkatan besar cukai pada tahun 2015, tahap mampu beli telah bertambah baik disebabkan tiada kenaikan cukai manakala pengilang sah rokok turut memperkenalkan rokok murah.

“Oleh itu satu bentuk moratorium kenaikan cukai hendaklah diperkenalkan sehingga kedudukan industri rokok sah kembali pulih bagi membolehkan usaha penguatkuasaan berkesan dan memudahkan daya beli produk tembakau sah bagi pengguna di Malaysia,” kata beliau.

No Image Caption

Isu penyeludupan kontraban, arak dan rokok adalah masalah yang amat serius dan memerlukan kerajaan bertindak tegas dan segera, khususnya dengan meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan.

Setakat ini, cadangan polis supaya penyeludup didakwa di bawah SOSMA adalah paling bernas kerana dengan cara itu, bukan sahaja anggota bawahan sindiket dapat dicekup malah ‘kepala-kepala besar’ sindiket juga dapat diberkas.

Dari segi penguatkuasaan, pihak berkuasa hendaklah melakukan pemeriksaan yang kerap dan mengenakan tindakan yang konsisten di peringkat kedai runcit di mana pengedaran sebenar rokok seludup dilakukan.

Setiap peningkatan cukai akan meningkatkan permintaan produk-produk seludup dan ini akan memberi tekanan hebat kepada agensi-agensi penguatkuasaan untuk membanteras penyeludupan.

Moratorium peningkatan cukai wajar diperkenalkan kerana ia memastikan kestabilan pasaran yang sah dan ketentuan pasaran supaya tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dijalankan lebih berkesan.

Jika isu transhipment menjadi isu, proses itu hendaklah diteliti semula dan jika SOSMA adalah jawapan terbaik bagi menangani penyeludupan, kajilah sedalam-dalamnya.

Pada masa yang sama, jangan naikkan harga rokok sah kerana ia akan hanya meningkatkan lagi permintaan terhadap rokok seludup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!