Lelaki maut kereta terjunam dalam sungai

Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Batu berhampiran bulatan Kepong di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 20 tahun menaiki kereta jenis Toyota Vios bersama seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang bekerja di sebuah kedai membaiki telefon bimbit dari arah Jalan Kepong menghala ke Bulatan Kepong.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Batu.

"Akibat kejadian itu, pemandu kereta berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan berjaya diselamatkan oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam Sungai Batu berhampiran bulatan Kepong semalam.
Kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam Sungai Batu berhampiran bulatan Kepong semalam.

Zulkefly berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat manakala penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Johari Kamin berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 10.55 malam.

"Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dan Sentul bergegas ke lokasi kejadian," katanya.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati sebuah kereta terbabas dan terjunam ke dalam sungai.

"Kita berjaya membawa naik kedua-dua mangsa dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!