Suri rumah rugi RM10,000 ditipu kenalan Facebook
KUANTAN - Niat baik seorang suri rumah untuk membantu kenalan Facebooknya dengan meminjamkan wang memakan diri apabila dia ditipu lelaki itu hingga kerugian RM10,000 kelmarin.
Mangsa yang berusia 52 tahun mendakwa lelaki bernama Amirul Asyraf dari United Kingdom yang dikenali sejak Disember tahun lalu datang ke Miri, Sarawak untuk menuntut wang peninggalan arwah ayahnya berjumlah RM1.5 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek dikatakan tiba ke negara ini Februari lalu dan menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, suspek meminta bantuan mangsa untuk meminjamkan wang kerana dia perlu membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus daripada jumlah wang yang dituntut.
"Suspek berjanji akan membayar balik wang tersebut selepas proses tuntutan selesai.
"Pada 17 Februari lalu, mangsa memasukkan wang RM8,000 ke akaun bank atas nama seorang wanita yang diberikan suspek manakala RM2,000 lagi dimasukkan pada 8 Oktober lalu ke akaun atas nama individu berbeza," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga dan syak ditipu apabila suspek gagal membayar balik wang tersebut seperti yang dijanjikan.
"Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Beserah di sini semalam untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis kini mengesan dua wanita pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!