Pas jangan termakan pujian

Mohd Amar Nik Abdullah - Foto Rosli Talib
Mohd Amar Nik Abdullah - Foto Rosli Talib
A
A
A

KOTA BHARU - Pas tidak boleh terlalu termakan pujian dengan dapatan kajian bahawa parti itu menjadi pelindung kepada isu Melayu dan Islam.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, Pas tetap memandang positif perkongsian Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berhubung perkara itu.

Apa yang penting katanya, Pas perlu betul-betul membuktikan peranan parti itu sebagai pejuang dan pelindung sebagaimana harapan masyarakat menerusi kajian tersebut.

“Hasil kajian ini menunjukkan perkembangan positif, menampakkan apa diusahakan semalam ini disedari dan diterima masyarakat.

“Kita berharap dengan penerimaan ini ia terus meningkat pada masa akan datang, dalam masa sama Pas mesti membuktikan dirinya sebagai pembela Islam.

“Dari segi berjuang itu satulah. Menjadi pembela Islam dan membawa tuntutan Islam yang boleh memberi kebaikan kepada semua masyarakat. Bukan untuk Islam sahaja kerana Islam ini syumul,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Mengikut kajian Ilham Centre terhadap 2,614 responden, hampir 30 peratus orang Melayu-Islam memilih Pas sebagai pelindung utama isu Melayu dan Islam berbanding hanya 27 peratus memilih Umno.

Dengan memberikan contoh, Timbalan Menteri Besar itu juga memberitahu banyak kemajuan dinikmati di Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam.

Artikel Berkaitan:

“Program dibuat bermula zaman arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sampai sekarang membuktikan kita tidak diskriminasi orang bukan Islam dan bukan Melayu. Itu kejayaan besar kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!