PKPB: Benarkan sektor ekonomi untuk imbangi ekonomi rakyat

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali ini adalah untuk mengimbangi ekonomi rakyat di negeri ini.

Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kerajaan harus melihat satu imbangan antara keperluan rakyat dan pada masa sama menangani koronavirus Covid-19 daripada terus menular.

"Saya tahu ada yang mengatakan kenapa kita tidak buat 'lockdown' sepenuhnya, saya faham mereka bimbang dengan keadaan sekarang tetapi bagi kita yang berpendapatan tetap, kerja atau tidak, kita tetap ada gaji, ia mudah bagi kita.

"Namun bagi mereka yang berpendapatan rendah, mereka perlu kerja setiap hari untuk menampung kehidupan keluarga, kita perlu ada empati pada mereka," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Innoprise di sini semalam.

Dalam pada itu, Masidi berkata, dasar kerajaan adalah untuk memastikan rakyat dapat bekerja, justeru sektor ekonomi dibuka semula dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kita pastikan mereka masih dapat bekerja supaya mereka dapat tampung keluarga mereka, sebab itu kita perlu ada imbangan yang sempurna, imbangan yang betul untuk kita melawan Covid-19 dan keperluan rakyat dapat diteruskan," katanya.

Terdahulu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kunci keberkesanan untuk mengurangkan penularan pandemik ini adalah menerusi penguatkuasaan dan sikap rakyat sendiri.

"Saya minta, kalau ada seorang ahli keluarga yang positif Covid-19, tolonglah ahli keluarga lain buat ujian kerana jangkitan kali ini lebih cepat merebak daripada sebelumnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!