Perkataan balak asal usul nama Balok

Pantai Balok antara lokasi rekreasi popular di Pahang.
Pantai Balok antara lokasi rekreasi popular di Pahang.
A
A
A

DIPENUHI kawasan perumahan baharu, pasar raya dan rumah kedai, pembangunan Balok dirancakkan dengan kewujudan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Taman Perindustrian Gebeng, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kedudukannya yang terletak berdekatan Pelabuhan Tanjung Gelang, menyebabkan daerah itu menerima tempias ekonomi.

Seberang Balok pula semakin membesar dengan banyak projek taman perumahan baharu yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Penduduk Kampung Pantai Balok, Ali Mat atau lebih dikenali sebagai Pak Teh Ali, 67, berkata, asal usul nama Balok dikatakan dari perkataan balak.

Katanya, pada masa dahulu, kawasan Sungai Balok dijadikan laluan pedagang dan perantau dari Thailand yang menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan hutan digelar Balak Pine.

Ketika itu, kayu balak diangkut menerusi Sungai Nyiur yang kemudiannya melalui Sungai Balok dan menghala ke laut sebelum dibawa ke Thailand, untuk aktiviti perdagangan.

Menurutnya, Sungai Balok adalah lokasi pertemuan tiga sungai, iaitu Sungai Balok, Sungai Tonggak dan Sungai Nyiur.

"Kayu balak yang menjadi pilihan di kawasan ini ketika itu adalah jenis Cengal. Di sungai inilah pedagang Thailand melaluinya dengan membawa keluar kayu balak.

Artikel Berkaitan:

“Puncanya daripada pedagang-pedagang Thailand yang menebang kayu di sini. Dulu Sungai Balok ini dimasuki kapal-kapal besar. Orang Thailand inilah yang meletakkan kawasan ini nama Balok, sekitar tahun 1946.

“Waktu itu Kampung Balok belum wujud lagi. Kalau tanya orang ramai pun tiada siapa yang ketahui nama sebenar dan asal-usul perkataan Balok namun kami percaya, daripada penceritaan ibu bapa dan kisah tradisinya, Balok berasal dari perkataan Balak. Sebab sebutan orang Thailand lebih kurang dialek orang Kelantan, iaitu Balok,” katanya.

Pak Teh Ali yang lahir di Kelantan pada 1952 menetap bersama keluarga di Kampung Pantai Balok sejak 1959.

Dia dan bapanya merupakan nelayan di kampung tersebut.

“Kalau ikutkan cerita orang tua-tua dahulu begitulah kisahnya. Aktiviti pembalakan menerusi sungai di sini dipercayai bermula sekitar tahun 1940-an.

"Sungai ini panjang sampai ke atas bukit hutan sana. Sekarang ni ada orang sebut kawasan Balak Pine. Itulah yang saya dengar masa dulu-dulu,” katanya.

Kawasan perkampungan Balok kini maju dan dipenuhi bangunan perniagaan.
Kawasan perkampungan Balok kini maju dan dipenuhi bangunan perniagaan.

Tiga kampung tradisi

Penghulu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Mansor Mokhtar yang ditemui di pejabat urusan penghulu mukim Berserah, berdekatan Pasar Nelayan Balok berkata, cerita asal usul Balok itu disampaikan dari generasi ke generasi.

Menceritakan mengenai pembangunan di Balok, Mansor berkata, terkini hampir 25,000 penduduk menghuni tiga perkampungan tradisi Balok, iaitu Kampung Tebing Tinggi, Seberang Balok atau Perkampungan Seberang Balok dan Kampung Balok.

Jeti di Balok membuktikan pekerjaan nelayan masih penting di kawasan itu.
Jeti di Balok membuktikan pekerjaan nelayan masih penting di kawasan itu.

Perkampungan Nemo

Dalam pada itu, Mansor ingin memperbetulkan fakta berkenaan Perkampungan Nemo yang heboh diperkatakan di media sosial, kononnya wujud di Beserah.

“Setahu saya, saya dibesarkan dan dilahirkan di Balok saya tidak pernah dengar fasal Kampung Nemo. Faktanya begini, ada satu NGO pencinta alam yang menjalankan aktiviti menyelam ke dasar laut.

“Mereka menjumpai kawasan ikan-ikan Nemo yang dipenuhi karang pelindung. Kawasan itu terdapat banyak ikan Nemo.

“Mereka telah bertemu dan memanggil beberapa pihak untuk menggazetkan kawasan itu dan mereka letakkan tukun berupa sebuah rumah. Maka jadilah perkampungan Nemo. Memang luas kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, tukun berbentuk rumah yang dihasilkan menggunakan konkrit itu dinamakan kawasan itu Perkampungan Nemo.

"Saya betulkan balik fakta itu sebab ramai orang jadi keliru seperti dibincangkan dalam Facebook dan di blog. Malah ada yang datang sini tanya saya mana Kampung Nemo,” katanya.

Menurutnya, untuk ke perkampungan itu, pengunjung perlu melalui jalan laut dengan menaiki bot sekitar 20 ke 30 minit perjalanan.

“Lokasi itu sesuai untuk aktiviti skuba atau menyelam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!