Bicara 1MDB Najib ditangguh ke 9 November

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan hari ini ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi berkata, perbicaraan itu akan disambung semula pada 9 hingga 12 November di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan itu sebelum ini, ditetapkan pada hari ini hingga Khamis.

Apabila perbicaraan disambung semula, pihak pembelaan akan meneruskan menyoal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman.

Pada 5 Oktober, mahkamah menangguhkan perbicaraan ke hari ini selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menunda kes berkenaan kerana bekas perdana menteri itu menjalani kuarantin dua minggu selepas pulang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri di Sabah bulan lepas.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!