'Bukan sekali jadi macam ini'
SHAH ALAM - Penduduk di Selangor meminta kerajaan negeri segera mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah pencemaran air yang sering berlaku di sini.
Muhammad Ameer Satria Mohd, 30, yang tinggal di Seksyen 7 Shah Alam berkata, masalah pencemaran air yang kerap berlaku di negeri ini memang tidak boleh diterima lagi.
Menurutnya, gangguan bekalan air ini sepatutnya tidak berlaku sekiranya ada pemantauan daripada pihak berwajib.
"Masalahnya bukan sekali jadi macam ini, sudah beberapa kali, jadi apa penyelesaiannya.
"Alasan setiap kali berlakunya gangguan bekalan air sememangnya tidak boleh diterima dengan akal yang waras," katanya kepada Sinar Harian.
Nor Amirah Abu Bakar, 29, pula berkata, dia dan suaminya terpaksa mencari sumber air untuk digunakan mereka sekeluarga.
"Saya tidak sempat tadah air kerana sejak bangun pagi tadi air sudah tiada.
"Memang terkesan sangat dengan masalah ini. Saya mohon pihak berwajib, tolonglah bantu kami," katanya yang tinggal di Alam Perdana, Puncak Alam.
ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] 1.2 juta akaun pengguna di KL, Selangor terjejas bekalan air
Terdahulu, kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, ia berikutan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran sungai itu.
Menurutnya, gangguan bekalan air itu membabitkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!