Dungun rekod wabak aktif denggi

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Daerah Dungun merekodkan satu wabak aktif denggi melibatkan kawasan Kompleks Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijangka tamat pada 29 Oktober 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes denggi di Terengganu tahun ini mencatatkan penurunan kes sebanyak 30.2 peratus (151 kes) berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, sehingga 17 Oktober 2020, sebanyak 349 kes denggi direkodkan berlaku di negeri ini berbanding 500 kes pada tahun sebelumnya.

“Kuala Terengganu merupakan daerah yang mencatatkan kes tertinggi dengan bilangan sebanyak 192 kes diikuti dengan Kuala Nerus (52), Kemaman (26), Dungun (25), Besut (24), Marang (15), Hulu Terengganu (10) dan Setiu (5).

“Semua daerah menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 dan tiada kes kematian denggi yang dilaporkan berlaku di Terengganu setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 21 episod wabak telah berlaku di Terengganu sehingga 17 Oktober lalu dengan 17 episod wabak berlaku di daerah Kuala Terengganu diikuti dua episod di Hulu Terengganu dan masing-masing satu episod di Kuala Nerus dan Dungun.

Dalam pada itu, Nor Azimi berkata, orang ramai diminta mengamalkan langkah pencegahan demam denggi bagi menurunkan kadar jangkitan.

Katanya, antara langkah boleh diambil ialah dengan meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnahkan tempat pembiakan Aedes (bekas takungan air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja dan mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa awal pagi serta lewat petang untuk mengelakkan digigit nyamuk.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, pintu dan tingkap perlu ditutup menjelang senja untuk mengelakkan nyamuk terbang ke dalam rumah, meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas air besar yang digunakan serta melakukan semburan aerosol di dalam rumah mengikut arahan pada label tin aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa terutama pada awal pagi dan lewat petang.

“Individu yang mempunyai simptom demam denggi diminta segera ke klinik berhampiran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!