Rakyat penat karenah ahli politik

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat semakin penat dengan karenah ahli politik yang mengabaikan nasib mereka kerana lebih berpolitik.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang berkongsi pendapat melalui blognya hari ini turut berkata, persepsi oleh individu itu penting tetapi perkara yang ditunjukkan oleh ahli politik hari ini sangat tidak baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu juga berpendapat keadaan semasa politik menyebabkan rakyat kini menganggap ahli-ahli politik sebagai tamak dan hanya mementingkan diri sendiri.

"Sudah tentulah ada masa untuk berpolitik, dan sudah pasti juga ada masa untuk berkhidmat. Rakyat sedar bahawa ahli politik di Malaysia berpolitik 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun," katanya dalam kenyataan diblognya hari ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, sikap itu perlu diubah segera dan ahli politik perlu sedar bahawa mereka kini semakin tidak disukai oleh ramai rakyat yang sudah lesu dan muak dengan kemelut yang tiada penghujungnya.

Tambahnya, ahli politik yang baik merupakan seorang yang sentiasa peka terhadap denyutan nadi negara dan sentiasa mendengar suara rakyat.

"Ahli politik dan aktivis politik amat gemar melaungkan slogan ‘rakyat adalah boss’. Namun, sebaik sahaja dapat menggenggam kuasa, mereka seakan terlupa siapakah sebenarnya ‘boss’.

"Bak kata penjawat-penjawat awam, ahli-ahli politik datang dan pergi, tetapi rakyat tetap di sini sampai bila-bila pun," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, dalam keadaan genting akibat pandemik koronavirus (Covid-19), kuasa perlu dikongsi bersama dan yang kalah atau menang perlu berbincang perkara terbaik untuk negara.

Menurutnya, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa era majoriti dua pertiga, atau majoriti mudah di Parlimen oleh hanya satu parti sudah berakhir.

"Kini, gabungan empat atau lima parti pun hanya mampu menang dengan majoriti yang nipis atau berjaya membentuk kerajaan dalam Parlimen yang hampir tergantung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!