Bunuh anak di Bachok, polis belum terima laporan kesihatan mental
PASIR MAS - Polis Kelantan mengesahkan belum menerima laporan mengenai tahap kesihatan mental pasangan suami isteri yang disyaki membunuh anak mereka berusia lapan bulan di Kampung Sungai Dua, Melawi, Bachok pada 13 Oktober lalu.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, setakat ini kedua-dua suspek memberi kerjasama membantu siasatan kes itu.
"Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.
Menurutnya, pada masa yang sama polis sedang mengesan beberapa orang saksi untuk membantu melengkapkan siasatan berhubung kes ini.
Sinar Harian 13 Oktober lalu melaporkan, seorang bayi lelaki ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dalam guni dengan seluruh tubuh dilumurkan garam kasar dipercayai dibunuh bapa kandungnya di Kampung Sungai Dua, Bachok.
Mayat bayi berkenaan, Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan turut mengalami kesan menggelupas pada kulit leher kiri dan kanan serta lebam pada badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!