Tiga kilang punca pencemaran bau

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) pada sidang media selepas melakukan lawatan di LRA Sungai Selangor 2, Bestari Jaya di sini hari ini.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) pada sidang media selepas melakukan lawatan di LRA Sungai Selangor 2, Bestari Jaya di sini hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Alam Sekitar dan Air sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kilang disyaki menjadi punca pencemaran bau hingga mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas pagi tadi.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kegiatan itu tidak dilakukan kilang sama seperti yang berlaku dalam insiden pencemaran bahan pelarut ke dalam Sungai Gong bulan lalu.

"Kita sedang siasat punca bau tersebut, namun lokasi kilang ini tidak dapat dipastikan di kawasan mana.

"Kadang-kadang, punca pencemaran berlaku di kawasan jauh (dari sungai) tetapi masuk ke dalam longkang yang kemudian mengalir sehingga 10 ke 20 kilometer ke sungai.

"Ini menyebabkan pencemaran bau sehingga menjejaskan operasi LRA," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di LRA Sungai Selangor 2, Bestari Jaya di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, siasatan mendapati kegiatan itu dilakukan pada waktu malam, awal pagi dan hujung minggu.

"Walaupun JAS (Jabatan Alam Sekitar) beroperasi 24 jam tetapi sungai di kawasan ini sangat luas dan tidak mungkin dapat dikawal sepanjang waktu," katanya.

Tegas beliau, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar.

"Kita akan bertindak tegas terhadap mereka dan JAS berterima kasih kepada penduduk yang banyak membantu menyalurkan aduan bagi membanteras kegiatan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!