Masih ada individu ingkar SOP PKPB

Mohd Haris (tiga dari kiri) mengenakan kompaun kepada individu yang berbasikal selepas didapati melanggar SOP PKPB di Jalan Papar Lama, Penampang.
Mohd Haris (tiga dari kiri) mengenakan kompaun kepada individu yang berbasikal selepas didapati melanggar SOP PKPB di Jalan Papar Lama, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Sikap segelintir masyarakat enggan mengambil tahu dan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyukarkan pasukan keselamatan untuk membantu memutuskan rangkaian wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Selepas PKPB dikuatkuasakan sejak 13 Oktober, masih ada segelintir individu melakukan aktiviti riadah termasuk bersukan dan memancing di beberapa lokasi di Penampang dan Kota Kinabalu.

Perkara itu amat membimbangkan pasukan keselamatan dan menyebabkan tindakan tegas dikenakan kepada individu yang didapati melanggar SOP PKPB termasuk dikenakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, masih ada individu yang didapati melakukan aktiviti riadah atau bersukan walaupun PKPB dikuatkuasakan ketika ini.

Menurutnya, perkara itu disedari ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat lawatan persiapan pembinaan Balai Polis Babagon di Penampang.

"Seorang lelaki ditahan selepas didapati beriadah dengan menaiki basikal di Jalan Papar Lama, di sini.

"Kompaun dikeluarkan terhadap lelaki terbabit atas kesalahan ingkar SOP PKPB kerana dalam tempoh ini sebarang sukan riadah dan rekreasi tidak dibenarkan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Haris berkata, pihak polis berhadapan dengan cabaran yang hebat kerana sikap segelintir individu yang enggan mengambil peduli mengenai SOP PKPB yang sedang dilaksanakan kini.

Artikel Berkaitan:

"Masih ada individu yang ingkar dengan undang-undang menjadikan pihak polis berhadapan cabaran yang hebat dalam mendidik masyarakat.

"Perkara ini amat mengecewakan dan ia menggambarkan masih ada segelintir masyarakat yang bersikap tidak ambil tahu dengan situasi semasa pandemik Covid-19," katanya.

Mohd Haris menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan dan pihak polis tidak akan berkompromi sekiranya ada pihak yang masih berdegil tidak mematuhi arahan semasa.

Sementara itu, Tinjauan Sinar Harian petang semalam mendapati masih ada segelintir individu melakukan aktiviti memancing di tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu selain

tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika melakukan aktiviti memancing di kawasan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!