Lelaki Pakistan dicekup bersama telekung seludup
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu menahan seorang lelaki warga Pakistan bersama rampasan pakaian, tudung dan telekung bernilai RM150,480 ketika sekatan jalan raya di Banggol Kong, Jeram Perdah di sini semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, lelaki itu dicekup pada jam 2 petang bersama sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang sarat dengan muatan barangan seludup terbabit.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan bernilai RM200,480.
"Ketika rondaan dilakukan anggota PGA Batalion 9 di sekitar jalan Pohon Tanjung dekat Jeram Perdah, mereka terserempak dengan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota PGA kemudian mengekori kenderaan itu dan telah menahannya ketika sekatan jalan raya di Banggol Kong," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan pelbagai kain pasang dan tudung.
Nor Azizan berkata, anggota PGA kemudian telah meminta dokumen mengenai muatan barangan dibawa namun pemandu kenderaan gagal mengemukakannya.
Menurutnya, kesemua barangan kes termasuk lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!