Abdul Hadi sindir pihak utamakan agenda politik

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir sikap sesetengah pihak yang dilihat lebih mengutamakan agenda politik tidak penting sehingga rakyat menjadi celaru.

Menurutnya, rakyat ketika ini sedang menderita menghadapi penularan wabak koronavirus (Covid-19) namun terus 'disuap' dengan pergolakan politik yang tidak berkesudahan sehingga 'termuntah.

"Rakyat yang menderita menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) dicelarukan dengan pergolakan politik yang tidak patut diutamakan.

"Apatah lagi diperbanyakkan sehingga terpaksa muntah," ciap pemimpin Pas itu dalam satu kenyataannya di Twitternya hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu kesal apabila pergolakan politik negara turut membabitkan tuduh menuduh di antara satu sama lain yang kononnya mereka paling membela rakyat.

Terdahulu, ketidaktentuan politik tercetus semula susulan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ketika tujuan pertemuan Anwar masih menjadi tanda tanya, UMNO pula membuat pertimbangan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan nasional (PN) jika tuntutannya berhubung jawatan tidak dipenuhi.

Berikutan itu beberapa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan oleh pembangkang dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pemimpin UMNO.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama ada dalam kalangan pemimpin pembangkang turut tampil menyalahkan kerajaan yang didakwa sibuk berpolitik sehingga gagal menangani penularan baharu wabak Covid-19.

Sehingga 18 Oktober, jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!