'Tiada industri, kilang haram berhampiran Sungai Selangor'
KUALA SELANGOR - Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian menafikan terdapat industri atau kilang haram didirikan berhampiran Sungai Selangor.
Loy Sian berkata, sebaliknya kilang-kilang haram tersebut beroperasi pada jarak lebih jauh dari kawasan Sungai Selangor.
"Tiada industri haram (kerana) yang ada jauh iaitu antara 30 hingga 50 kilometer dari Sungai Selangor," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 2, Bestari Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana kilang yang didapati melakukan kesalahan melakukan pencemaran sungai.
Malah, katanya, pihaknya bercadang membawa perkara itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 November depan.
"Kita akan menguatkuasakan hukuman denda dan penjara lebih tegas antaranya menaikkan jumlah denda sedia ada daripada RM100,000 kepada RM200,000 hingga RM1 juta serta penjara maksimum tiga tahun," katanya.
Loy Sian berkata, kerajaan juga menggalakkan penyaluran maklumat daripada orang awam agar perbuatan mencemar alam sekitar dapat dibanteras.
"Kita akan memberi ganjaran sebanyak RM20,000 kepada mereka yang menyalurkan maklumat berhubung kegiatan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang berniat melakukan pencemaran sungai," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri menggunakan dron berteknologi tinggi pada bulan depan bagi menangani isu pencemaran air.
"Dron tersebut dapat melakukan ujian sampel air dengan lebih berkesan dan cepat selain boleh masuk ke tempat terpencil," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:[DIKEMASKINI] 1.2 juta akaun pengguna di KL, Selangor terjejas bekalan air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!