Letak Yadim bawah Majlis Raja-raja Melayu, bukan JPM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mencadangkan supaya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) diletakkan di bawah Majlis Raja-raja Melayu dan bukan lagi Jabatan Perdana Menteri.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, ia bersesuaian dengan kedudukan raja selaku ketua yang menjaga agama Islam di negara ini.

Menurutnya, cadangan tersebut juga dilihat bersesuaian dengan situasi semasa apabila badan yang menjaga dan menyampaikan dakwah berkaitan agama Islam kini menerima tempias politik.

"Apa yang berlaku dalam Yadim pada hari ini tidak menggambarkan apa yang kerajaan nyatakan berkaitan dengan soal integriti sebelum ini supaya tidak ada orang politik dalam badan dan syarikat utama berkaitan kerajaan.

"Apa yang pasti kini ia telah dikuasi orang politik dan agenda politik menjadi keutamaan berbanding tujuan asal penubuhannya," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Sheikh Omar sah dilantik ahli lembaga pemegang amanah Yadim

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengesahkan pelantikan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali sebagai pemegang amanah Yadim.

Katanya pelantikan tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kemampuan dan kelayakan beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aminuddin mendakwa, pelantikan Adun DAP itu menjadi persoalan sangat besar kerana umum mengetahui parti itu anti Islam dan mahu menyamaratakan semua agama di negara ini.

"Ini merupakan satu strategi mengurangkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) Islam. Ini juga satu bentuk liberalisme menyamakan semua agama dan itu adalah perjuangan DAP sekian lama," katanya.

Tambahnya, Yadim bakal mengalami zaman kemurungan dan kegelapan kerana fungsi utama badan dakwah itu bakal dilihat hilang.

"Persepsi masyarakat mengenai Yadim selepas ini adalah urusan dakwah akan diketepikan sebaliknya agenda politik diutamakan.

"Apa yang pasti, orang menerima Yadim tidak seperti sebelum ini. Fungsi Yadim tidak seperti dahulu lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!