Selamatkan orang asli Bateq daripada pupus
[LAPORAN KHAS] Populasi orang asli suku Bateq yang cuma berjumlah 1,648 orang menyebabkan masyarakat suku itu perlu terus dilindungi daripada kepupusan.
Menurut Pakar Antropologi dan Sosiologi (Pengajian Peribumi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Roslan Rosnon, populasi kecil suku Bateq itu mendedahkan mereka kepada ancaman kepupusan sekiranya tidak dilindungi.
“Orang asli suku Bateq juga adalah manusia dan perlu diberikan perlindungan agar mereka berasa selamat untuk mendiami sesuatu kawasan,” kata Roslan dalam temu ramah eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.
“Mereka memiliki adat dan tradisi yang sangat berharga bukan sahaja untuk suku Bateq tapi untuk kita sebagai rakyat Malaysia, ia perlu dijaga dan dipulihara agar dapat dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya.
Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) setakat Disember 2019 terdapat lebih 198,000 orang asli daripada pelbagai suku di seluruh negara.
Tambah Roslan, dengan pengetahuan ilmu hutan yang luas dan kemahiran mengemudi kehidupan di dalam belantara, selayaknya orang asli suku Bateq yang berasal daripada kelompok Negrito ini digelar ‘Penjaga Hutan’.
“Majoriti orang asli Bateq mendiami penempatan di kawasan hutan dan pedalaman sekitar Kelantan dan Pahang dan mempunyai hubungan akrab dengan hutan.
“Contohnya, mereka tahu pohon mana yang sesuai untuk dijadikan atap dan dinding pondok. Mereka juga mahir menggunakan sumpit untuk berburu di hutan.
“Mereka juga arif tentang khasiat herba-herba hutan dan kita seharusnya mempelajari ilmu tersebut. Tidak ketinggalan kita perlu melakukan dokumentasi tentang ilmu rimba, bahasa dan segala yang berkaitan dengan orang asli Bateq untuk tatapan generasi seterusnya,” katanya lagi.
Masyarakat asli suku Bateq walaupun ramai yang sudah beragama Islam, tetapi masih ada juga yang mengamalkan agama adat.
Lantaran itu, masih banyak amalan tradisi dan budaya orang asli Bateq masih diamalkan sehingga ke hari ini antaranya upacara pengebumian yang unik.
“Apabila berlaku kematian dalam kalangan orang asli suku Bateq, mereka tidak menanam mayat sebaliknya menggantung mayat setinggi enam meter di atas pokok.
“Mereka akan membaca mantera supaya mayat tersebut akan dijaga oleh semangat nenek moyang yang berada di dalam hutan,” kata Roslan sambil menambah mantera turut dibaca agar mayat itu tidak diganggu binatang buas.
Dalam pada itu, orang asli suku Bateq akan berpindah ke suatu tempat baharu apabila berlaku kematian kerana mereka percaya kewujudan semangat tidak baik di kawasan tersebut.
“Hidup berpindah-randah merupakan tatacara kehidupan suku Bateq yang tinggal di pedalaman, namun ada yang sudah mengalami pemodenan terutama mereka yang diberikan penempatan semula,” katanya.
Namun, susulan merebaknya virus pembunuh Covid-19 di seluruh negara menyebabkan orang asli suku Bateq kembali ke hutan demi mencari perlindungan.
“Mereka berasa selamat apabila berada di dalam hutan kerana ia adalah kawasan mereka. Ini salah satu cara untuk mereka menjauhkan diri daripada orang luar.
“Keduanya, perpindahan ke dalam hutan merupakan rentetan daripada kes demam campak yang menimpa orang asli Bateq di Kuala Koh sebelum ini yang menyebabkan 14 kematian,” katanya lagi.
Menurut Roslan, bagi memastikan survival orang asli suku Bateq aspek pembangunan perlu dilihat daripada konteks mereka.
“Mungkin kita melihat suku Bateq ini mundur tetapi daripada kaca mata mereka, mereka tidak berasa mundur.
“Dalam melihat sesuatu masyarakat kita perlu melihat dalam konteks mereka bukan daripada lensa kita. Kita perlu memahami kehendak dan kemahuan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!