Jawatan TPM untuk UMNO solusi damai Muhyiddin
PADA saat suhu politik negara semakin memuncak ketika ini, api kemarahan rakyat terhadap ahli politik Malaysia juga semakin membara sejak berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September lalu.
Kemarahan mereka ada asasnya. Setelah berbulan-bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan frontliners berhempas-pulas mendatarkan lengkuk penularan Covid-19, konflik politik di Sabah akhirnya memusnahkan segalanya.
Tidak kisahlah siapa mencetuskannya, penularan gelombang ketiga Covid-19 kali ini yang mencatatkan angka jangkitan tertinggi dalam sejarah sebanyak 871 kes. Malah gelombang kali ini lebih sukar dibendung susulan genom virus di Sabah dikatakan bersifat super spreader.
Selain itu, tindakan kerajaan menguatkuasakan prosedur kuarantin double standard kepada mereka yang pulang ke Semenanjung atau Sarawak dari Negeri Di Bawah Bayu turut menjadi faktor utama penularan pandemik berkenaan.
Pada masa sama, implikasi negatif gelombang ketiga Covid-19 terhadap sektor ekonomi negara juga lebih serius berbanding gelombang terdahulu apabila perusahaan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perniagaan dalam talian kini semakin terjejas teruk.
Sehingga kini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum mengumumkan sebarang inisiatif khas membantu rakyat dan peniaga yang terkesan Covid-19 seperti bantuan Prihatin, Penjana dan moratorium pinjaman bank selama enam bulan sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Polemik ketidaktentuan politik negara pada ketika ini menjadi lebih genting apabila pucuk kepimpinan UMNO membuat keputusan menilai semula sokongan kepada kerajaan PN dengan langkah itu dikaitkan dengan agenda politik terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula 24 September lalu.
Kesan pertelagahan politik antara pemimpin-pemimpin parti di Malaysia menjadi lebih parah apabila rakyat berkemungkinan terpaksa berdepan pilihan raya mengejut pada saat Covid-19 semakin mengganas, susulan tuntutan terbaru UMNO kepada kerajaan PN.
Pada saat tsunami Covid-19 semakin ganas membadai negara kita, perlukah drama pertelingkahan kuasa antara elit-elit politik diteruskan dengan nyawa rakyat bakal menjadi taruhan?
Jalan damai
Suka atau tidak, pada saat masa depan negara berpotensi dimusnahkan oleh ancaman Covid-19, semua pemimpin politik, baik daripada parti pembangkang dan kerajaan, sepatutnya mencari jalan damai buat sementara waktu.
Tidak kisah sama ada Muhyiddin dianggap Perdana Menteri bagus atau tidak, semua pihak sepatutnya memberi ruang kepada beliau untuk mengemudi kerajaan mendepani kesan pandemik Covid-19 di negara ini, sekurang-kurangnya sehingga wabak itu reda.
“Secara peribadi, saya menyeru semua pihak terutama para pemimpin politik, tidak kira pembangkang atau kerajaan, supaya menyokong usaha ‘moratorium berpolitik’ buat seketika andai kalian benar-benar jujur dan ikhlas meletakkan kepentingan rakyat serta negara.
“Jangan hingga Istana Negara terpaksa ‘mencemar duli’ campur tangan demi menyelamatkan keadaan,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman kepada Sinar Harian semalam.
Pandangan sama turut dipersetujui Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad yang meminta semua pemimpin politik memberi sokongan kepada kerajaan PN bagi menangani ancaman Covid-19 ketika ini.
“Pas berpendirian semua pihak harus menumpukan usaha menangani Covid-19 terlebih dahulu dengan perkara lain, termasuk perselisihan politik, wajar dilakukan selepas pandemik itu selesai,” katanya.
Bagaimanapun, dalam menyelesaikan isu ketidakstabilan kerajaan PN ketika ini, Muhyiddin dan Bersatu juga perlu mengalah dan akur kepada sebahagian tuntutan UMNO yang munasabah.
Sebagai contoh, UMNO sebagai sebuah parti yang memiliki komposisi bilangan kerusi Parlimen terbanyak sepatutnya diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh Muhyiddin sebagai bukti komitmen Bersatu untuk mengukuhkan hubungan dengan parti itu.
Di sebalik dakwaan UMNO tiada calon sesuai bagi jawatan itu, pemimpin-pemimpin utama seperti Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebenarnya memenuhi kriteria diperlukan kerajaan PN.
“Sekarang parti yang boleh menjatuhkan Muhyiddin hanya UMNO kerana parti itu yang memiliki bargaining tool dan mempunyai locus standi untuk membubarkan kerajaan PN.
“Muhyiddin kena pertimbangkan pemberian jawatan TPM dan beberapa portfolio kementerian penting lain kepada UMNO dengan Ismail Sabri dan Tok Mat (Mohamad Hasan) adalah antara calon sesuai kerana memegang jawatan utama parti dan bersih,” kata penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.
Pandangan Ahmad Atory itu turut diperakui Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman.
“Lantikan TPM dilihat mampu mengendurkan tekanan UMNO yang semakin terluka dek strategi percaturan politik dimainkan pemimpin Bersatu seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang seolah-olah berniat ‘membunuh’ UMNO terutama pada PRN Sabah lalu.
Abang Long
“Paling penting, menjelang keputusan mesyuarat kedua-dua parti itu bagi menentukan hala tuju kerajaan PN esok (hari ini), Bersatu dan UMNO kena bertolak ansur bagi memastikan hasil perundingan positif dicapai.
“Tidak salah Muhyiddin dan Bersatu mengiktiraf UMNO sebagai ‘Abang Long’ dalam kerjasama politik sedia ada dengan mereka diminta tidak mengambil kesempatan di atas permasalahan pucuk kepimpinan UMNO dengan membuat keputusan melangkaui persetujuan parti itu sendiri,” katanya.
Dr Muhammad Faiz pula mengemukakan teori berbeza dengan menjelaskan sebarang pelaksanaan rombakan Kabinet serta pelantikan TPM, sekiranya wajar dilakukan sekalipun, perlu berdasarkan merit keperluan rakyat dan bukan disebabkan tekanan dan ugutan politik.
Menyentuh mengenai cabaran Muhyiddin mengekalkan hubungan Bersatu-UMNO, Ahmad Atory mendedahkan Presiden Bersatu itu perlu menyedari ada barisan Kabinet beliau yang mungkin tidak layak dari segi merit atau menjadi satu liabliti.
Selain itu, bagi mengembalikan defisit kepercayaan rakyat yang semakin terhakis susulan drama perebutan kuasa pada saat Covid-19 semakin kritikal, Abdul Aziz berpandangan sudah tiba masanya Muhyiddin mewakili kerajaan PN memohon maaf kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia.
“Mungkin Muhyiddin bukan puncanya, tetapi dengan kesanggupan beliau merendah diri memohon maaf bagi pihak ahli politik Malaysia, kemarahan rakyat mungkin akan sedikit terubat,” katanya.
JUMLAH KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI SETAKAT 19 OKTOBER 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!