Air oh air, bila nak selesai?
KUALA LUMPUR- Gangguan bekalan air mentah tidak berjadual di Lembah Klang sejak semalam, bukanlah pertama kali berlaku dan kejadian kali ini, pastinya mengundang amarah masyarakat kerana terpaksa berdepan masalah serupa beberapa kali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjelaskan bahawa pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor kali ini menjejaskan 1,196,457 pemegang akaun Air Selangor melibatkan 1,292 kawasan sekitar Lembah Klang iaitu di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Air Selangor juga memberitahu pencemaran sumber air mentah yang dikesan pada pukul 2 pagi semalam (19 Oktober) menyebabkan henti tugas operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.
Mengulas masalah yang seolah-olah tidak berpenghujung ini, Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak mencadangkan agar keupayaan dan kepakaran agensi berkaitan pencemaran sumber air dipertingkatkan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
"Kes pencemaran mengambil masa yang terlampau lama untuk dibawa ke mahkamah dan begitu juga perbicaraan sebelum sebarang keputusan dapat dicapai.
"Selain faktor bahan cemar yang semakin banyak dan terbaharu, teknologi serta sains bidang forensik alam sekitar di Malaysia juga jauh ketinggalan berbanding teknologi lain," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata pihak berkuasa harus memikirkan inisiatif untuk mewujudkan rizab air mentah hingga 20 peratus, membina simpanan air mentah luar sungai dan mewartakan rizab sungai bagi mengelak perkara sama berulang pada masa hadapan.
"Bidang forensik alam sekitar perlu diperkasakan semula. Ia perlu dikemas kini dengan kemudahan makmal dan peralatan terkini dalam mengesan unsur bahan cemar, memandangkan kehadiran pelbagai jenis bahan kimia generasi baharu serta faktor iklim di negara ini yang mendatangkan cabaran kepada agensi.
"Kerjasama serta perkongsian alatan serta kaedah pengenalpastian bahan hasil kajian pakar di universiti boleh membantu pihak agensi," katanya menambah UPM turut mempunyai pakar forensik alam sekitar untuk mengenal pasti bahan pencemar dalam sesuatu persekitaran.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata pada 7 September lalu pihaknya telah mengemukakan cadangan pindaan segera terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dengan menambah seksyen baharu untuk membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak yang terjejas.
"Seksyen ini akan membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pengiraan kehilangan pendapatan dan kos tambahan yang ditanggung pihak yang terlibat semasa kejadian pencemaran. Dengan cadangan pindaan tersebut, pesalah perlu membayar denda, kos pembersihan dan tuntutan dari pihak yang terjejas," katanya.
Bagaimanapun, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, gangguan air terbaharu itu sukar dipercayai dan tidak dapat diterima kerana ia berlaku selepas laporan pemulihan bekalan air di 686 kawasan akibat gangguan air, sebelum ini.
"Gangguan bekalan air semalam (19 Oktober) disebabkan oleh pencemaran bau di Sungai Selangor. Secara kebetulan, ini adalah sungai sama yang tercemar dan menjejaskan bekalan air mentah kepada jutaan pengguna, kurang tiga bulan lepas,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Lee, gangguan bekalan air kali ini, sukar dipercayai. tidak dapat diterima dan mencetuskan skandal.
"Nampaknya semua nasihat dan rayuan yang dibuat selama ini tidak diendahkan dan ia umpama mencurah air ke atas daun keladi,” katanya.
Lee berkata gangguan bekalan air itu memburukkan lagi keadaan, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berdepan dengan ancaman jangkitan Covid-19 yang menular dengan cepat kini.
"Antara prosedur operasi standard (SOP) semasa penularan wabak ini ialah kita perlu menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan. Tetapi bagaimana seseorang hendak melakukannya tanpa air?
"Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita juga tidak boleh pergi ke rumah rakan-rakan untuk menumpang mandi," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!