Gangguan bekalan air bukti kegagalan kerajaan Selangor: Rizam
SHAH ALAM - Gangguan bekalan air melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di Selangor menunjukkan kegagalan kerajaan negeri gagal menguruskan air dengan cekap.
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, gangguan bekalan air itu adalah perkara yang amat memalukan memandangkan Selangor adalah sebuah negeri yang maju.
"Selangor ditadbir kerajaan PH memasuki tahun yang ke 10, namun menyedihkan apabila krisis air gagal ditangani dengan baik sehingga mengakibatkan jutaan rakyat di negeri ini terkesan.
"Apa yang kita lihat, urus tadbir air di negeri ini semakin teruk dari tahun ke tahun. Sebelum ini mereka membeli Air Selangor dengan membelanjakan kira-kira RM2.2 bilion tetapi ini hasilnya," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, masalah air yang membelenggu rakyat di Selangor seolah-olah balasan kepada pengundi yang mengundi PH di negeri ini.
"Adakah ini balasan kepada pengundi yang mengundi PH? Air adalah satu sumber utama kepada manusia terutama di kawasan pekan.
"Selangor mempunyai penduduk paling padat di Malaysia, sini juga terdapat begitu banyak industri ekonomi, jadi bila bekalan air mengalami gangguan, bukan sahaja penduduk malahan peniaga-peniaga terkesan," katanya.
Katanya, peranan kerajaan negeri sememangnya dipersoalkan termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), bukan hanya menyiasat dengan mencium bau air.
"Mana peranan Luas, exco dan menteri besar. Jadi, rakyat Selangor perlu beri tekanan kepada kerajaan negeri Selangor supaya mereka segera menangani masalah ini.
"Adakah sekadar turun dan mencium bau air? Di manakah pelan tindakan yang konkrit bagi menangani masalah ini agar ia tidak berlaku lagi. Kita mahukan penyelesaian bersifat total dan menemui titik penyelesaian," katanya.
Terdahulu, kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di Selangor menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] 1.2 juta akaun pengguna di KL, Selangor terjejas bekalan air
Luas perlu lebih efektif tangani isu pencemaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!