Gadis cari bapa jadi wali nikah
HULU TERENGGANU – Seorang gadis yang bakal berkahwin meminta bantuan orang ramai untuk mencari bapa kandungnya bagi menjadi wali pernikahannya hujung bulan ini.
Siti Nuraisyah Mohd Rozisan dari Kampung Ajil, di sini berkata, dia berharap bapanya, Mohd Rozisan Mat Hussin, 40, dapat ditemui segera supaya majlis perkahwinannya berjalan lancar.
Menurut Siti Nuraisyah, dia terputus hubungan dengan Mohd Rozisan selepas bapanya bercerai dengan ibu, Nik Roslina Abu Bakar, 38, sejak setahun lalu.
“Kali terakhir saya jumpa ayah dua tahun lepas, selepas itu kami terputus hubungan. Saya sudah cari ayah di merata tempat termasuk kampung ayah di Bukit Tanah, Kampung Raja, Besut tapi gagal.
“Saya kini buntu dan tidak tahu bagaimana lagi mahu cari ayah sedangkan tarikh kahwin semakin hampir,” katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.
Sehubungan itu, dia berharap orang ramai yang mengenali Mohd Rozisan dan tahu lokasi bapanya berada dapat menghubungi talian 019-2811054.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!