Empat lelaki maki polis dituduh di mahkamah
TANJUNG MALIM - Empat lelaki yang sebelum ini tular di media sosial kerana memaki anggota polis akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, P Panneerselvan, 32; S Vijandran, 41; A Sivakumar, 28 dan R Durai Raaj, 25, kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, Nurul Hidayah Ismail.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menghalang Koperal Muhd Syahrul Azuwan Abd Manaf daripada menjalankan tugasnya dengan sengaja tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar serta gagal mengemukakan kad pengenalan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, Slim River - Tanjung Malim pada jam 3.30 pagi pada 16 Oktober lalu.
Keempat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Nurul Hidayah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula 26 Oktober ini bagi mendapatkan jurubahasa Tamil.
Dalam prosiding sama, Durai Raj didakwa atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara menolak badan dan membuka zip 'vest' polis Muhd Syahrul di lokasi dan masa yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Puvanasvary.
Pada 16 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan empat lelaki ditahan selepas polis menerima aduan terdapat sekumpulan lelaki sedang mabuk dan membuat bising dengan memasang muzik yang kuat di lokasi kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: 4 lelaki mabuk maki polis ditahan
Anggota Unit Peronda (MPV) yang tiba di lokasi memberi nasihat supaya mereka beredar dan tidak membuat bising namun, dua daripada mereka kemudiannya mengamuk dan menyerang dengan menolak badan anggota tersebut serta mengeluarkan kata-kata kesat.
Dalam kejadian itu, salah seorang daripada lelaki tersebut merakam video dan cuba membuat provokasi sebelum mereka ditahan.
Video lelaki tersebut mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis tular di media sosial serta mendapat perhatian netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!