Al Sultan Abdullah tiba di ibu negara untuk lafaz Sumpah Jawatan Agong ke-16
SEPANG - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara.
Pesawat khas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan yang membawa Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada kira-kira 9.10 pagi.
Ketibaan Seri Paduka berdua disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin.
Turut menyambut Seri Paduka berdua adalah Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan Datuk Seri Mohd Zuki Ali, yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM Datuk Junaidah Kamarruddin serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Seri Paduka kemudiannya melintasi pasukan Kawalan Kehormat Setempat (static guard) oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dari Kem Wardieburn Kuala Lumpur, yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota, diketuai Kapten Abdul Munir Mohani@Che Omar.
Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya berangkat ke Dataran Parlimen bagi sambutan rasmi sebelum menuju ke Istana Negara bagi majlis melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!