UPM bimbing banduan tanam rumput Napier
AYER KEROH – Pusat Transformasi Komuniti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) membimbing seramai 36 banduan dan staf Penjara Agro Dusun Dato' Murad di sini baru-baru ini untuk menanam rumput Napier dan menghasilkan silaj berkualiti tinggi.
Projek di bawah Skim Geran Pemindahan Ilmu (KTGS) membimbing banduan mengenai kaedah penanaman dan pengurusan tanaman serta amalan agronomi rumput Napier untuk menghasilkan sumber makanan ternakan yang mencukupi dan berkualiti tinggi.
Ketua projek, Dr Martini Mohammad Yusoff berkata, pihaknya mendapat permintaan daripada penjara tersebut yang mengalami masalah kekurangan sumber makanan dalam pemeliharaan lembu, kambing dan biri-biri mereka.
Sementara itu, katanya, kaedah pembuatan silaj juga penting dalam proses penyediaan makanan ternakan kerana ia boleh disimpan dan boleh digunakan apabila mengalami masalah kekurangan sumber makanan seperti musim kemarau dan banjir.
“Pakej pemindahan ilmu ini lengkap merangkumi peringkat penanaman, penjagaan dan penuaian rumput Napier sehingga penghasilan silaj yang digunakan sebagai sumber makanan ternakan di penjara tersebut,” katanya.
Hadir sama pada sesi tersebut ialah penyelidik bersama, Dr Shokri Jusoh dan Profesor Madya Dr Hawa Jaafar dari Fakulti Pertanian UPM.
Sementara itu, Pengarah Penjara Agro Dusun Dato' Murad, Tuan Zamzuri Ghani berkata, ilmu tersebut bukan sahaja mampu dipraktikkan oleh komuniti penjara, malah mereka berjaya menghasilkan silaj dengan menggunakan teknologi penyelidik UPM dan memberi idea masa hadapan dalam bidang keusahawanan baru kepada banduan.
“Terdapat banduan yang berhasrat untuk mengusahakan projek penternakan dengan menggunakan rumput Napier sebagai sumber makanan ternakan setelah tamat tempoh tahanan mereka,” katanya.
Rumput Napier merupakan sejenis rumput saka, tahan daripada serangan serangga perosak dan penyakit tumbuhan, menghasilkan biomas yang tinggi, di samping kandungan nilai pemakanan ternakan yang tinggi.
Berasaskan penemuan daripada penilaian ke atas lima jenis rumput Napier yang ditanam, varieti Kobei, Ungu dan Taiwan bagus ditanam secara komersial kerana mempunyai nilai biomas dan nilai pemakanan yang tinggi untuk ternakan.
Selain diberi makan dan dijual secara segar, rumput Napier juga boleh diproses menjadi silaj yang terhasil daripada proses fermentasi anaerobik untuk diberikan kepada ternakan ruminan seperti lembu, kambing dan biri-biri terutama apabila berlaku kekurangan sumber makanan. Ia juga sesuai digunakan untuk sistem feedlot untuk pengeluaran daging lembu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!