Kerajaan tidak perlu buat rombakan Kabinet
SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu membuat sebarang rombakan kabinet ketika ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kerajaan kini perlu memberi tumpuan kepada usaha memerangi gelombang ketiga Covid-19 berbanding isu berkaitan politik.
"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menyatakan bahawa tidak ada rombakan Kabinet dan menghentikan penawaran kedudukan dan jawatan politik.
"Daripada memfokuskan pada survival dengan menyogok sokongan ahli Parlimen dengan jawatan GLC, termasuk jawatan besar sebagai Pengerusi Petronas dan jawatan menteri melalui rombakan Kabinet, adalah lebih baik masa dan usaha digunakan Perdana Menteri membetulkan kegagalan menangani krisis Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, perkara itu sangat penting dalam memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang belum reda.
Pada masa yang sama, bekas Menteri Kewangan itu mengulangi pendirian bahawa tidak ada keperluan DAP untuk mengatakan mengenai perkembangan politik semasa, khususnya ketika orang awam mahu kepentingan mereka dijaga oleh kerajaan.
"Marilah kita fokus untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dan bukannya menggunakan retorik perkauman dan agama yang memecah belahkan.
"Juga sokongan kepada wira-wira barisan hadapan kita memenangi pertempuran melawan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!