Lelaki berpakaian muslimah curi duit surau
BATU GAJAH - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri wang berjumlah RM100 dalam tabung Surau Al-Solehiah, Kampung Tersusun Taman Tasek Permai di sini Sabtu lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 12.57 tengah hari itu, suspek berusia 29 tahun berpura-pura menjadi jemaah wanita dengan memakai jubah dan tudung hitam serta berpelitup muka ketika melakukan perbuatan itu.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu disedari selepas salah seorang jemaah curiga terdapat beberapa kepingan ‘masking tape’ berwarna perak di atas meja berhampiran tabung.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek berpakaian wanita menggunakan objek panjang ke dalam tabung surau untuk mencuri wang.
“Kejadian itu berlaku Jumaat lalu ketika suspek menjolok beberapa kali lubang tabung surau itu dan berjaya mengambil beberapa keping wang dan masukkan ke dalam beg yang digalasnya sebelum beredar.
“Rakaman CCTV di luar surau juga kelihatan sebuah kereta jenis Perodua viva berwarna putih sedang membuat pusingan U di hadapan surau dan dipercayai dipandu suspek,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, bertindak atas maklumat, suspek ditahan pada jam 8.30 malam di rumahnya dan merampas jubah, beg sandang, tudung dan seluar panjang berwarna hitam serta kereta terbabit.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau dan terbaru Ogos lalu apabila terlibat dalam kes curi wang dalam tabung masjid di Jelapang, Ipoh.
“Suspek direman empat hari dan akan dituduh esok di Mahkamah Majistret Parit di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!