Sabah 'tertekan' hadapi Piala Malaysia
PERSIAPAN Sabah bagi menghadapi kempen Piala Malaysia terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19.
Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, ketika ini skuad Tambadau itu menghadapi gangguan yang mana pemain tidak dibenarkan untuk berlatih manakala permohonan khas untuk meneruskan latihan telah ditolak oleh kerajaan negeri.
“Jika dilihat, ya kami dalam keadaan bermasalah di mana latihan tidak dibenarkan kerajaan negeri akibat prosedur operasi standard (SOP) PKPB. Pemain kami kini berlatih sendiri setiap hari.
“Pegawai pasukan akan menyediakan barisan pemain dengan jadual latihan masing-masing pada setiap hari dan mereka akan berlatih sendiri. Disebabkan ada sekatan, mereka kini terpaksa berlari di kawasan tempat letak kereta bersendirian dengan kekurangan peralatan latihan,” katanya.
Kurniawan berkata, pihak pengurusan Sabah akan membuat permohonan semula kepada kerajaan negeri bagi sesi latihan khas sebagai persediaan aksi terakhir Liga Super menentang UiTM FC pada 31 Oktober ini dan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 6 November.
“Jika ini (permohonan khas) ini tidak diluluskan, kami akan terus berlatih secara individu sehingga kami pergi ke Semenanjung pada 29 Oktober untuk perlawanan kami. Kami akan memaksimumkan latihan kami di sana.
“Buat masa ini, kami sedang mencari stadium yang boleh kami gunakan untuk latihan di Semenanjung sebaik tiba di sana,” ujarnya sambil menjelaskan tidak ada cara untuk keluar dari Sabah sebelum 29 Oktober kerana ujian Covid-19 akan memerlukan mereka dikuarantin lima hari sebelum berlepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!