‘The Professor’ jadi Penasihat Teknikal Kelantan FC
BEKAS legenda bola sepak negara, Nasir Yusoff atau The Professor dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kelantan FC berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamburger berkata, pelantikan bekas pemain Johor itu merupakan manifestasi baharu ke arah memperkasakan lagi pasukan pada masa hadapan.
"Saya cukup optimis beliau mampu menggalas tanggungjawab untuk membantu melonjakkan lagi Kelantan FC ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nama Nasir bukanlah asing dalam kalangan peminat bola sepak negara apabila pernah membantu skuad kebangsaan bermula tahun 1982 sehingga 1994 dengan melakukan 86 penampilan bersama Harimau Malaya.
Bukan itu sahaja, Nasir pernah terlibat dalam pembangunan akar umbi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurutnya, pemilihan Nasir dibuat berpandukan kepada pengalaman luas yang dimiliki oleh anak kelahiran Johor itu dalam bola sepak.
Katanya, Nasir juga akan memainkan peranan untuk pembangunan pasukan di peringkat akar umbi.
Zamburger berkata, khidmat The Professor turut ditagih untuk membantu TRW mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini.
Katanya, TRW telah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal dalam mengharungi saingan Piala Malaysia.
"Saya optimis kejutan mampu dilakukan berpandukan kepada persembahan pemain dalam saingan Liga Perdana baru-baru ini.
"Saya harap pemain terus kekal fokus untuk saingan Piala Malaysia nanti dan bersedia melakukan kejutan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!