Sedap makanan kerana pinggannya

A
A
A

SESUATU yang menarik telah berlaku kepada saya baru-baru ini. Dua minggu lalu, saya ditugaskan untuk mengepalai pasukan pemasaran di Malakat Mall yang mempunyai 34 jenama aktif. Saya pernah mengetuai pasukan pemasaran Kumpulan Karangkraf pada tahun 1990-an untuk lebih 23 buah majalah pada usia 30-an.

Dalam usia sebegini, saya lebih suka berperanan sebagai moderator, negotiator dan motivator, bukan sebagai bos kepada lebih 30 orang staf yang rata-ratanya separuh usia saya.

Mereka dalam pasukan saya rata-ratanya muda dan bertenaga. Mereka boleh bermesyuarat lama-lama dan setelah itu boleh berjaga malam seperti saya dalam usia sebegitu. Dengan teknologi, banyak rekabentuk, rekaletak, imej, audio dan video 60 saat boleh dihasilkan dalam sehari semalam.

Dari sudut teknikal, saya perlu unlearn dan relearn banyak perkara yang melibatkan teknologi maya. Hujah ‘aku dahulu makan garam’ tidak boleh diguna pakai untuk memenangi perbincangan. Yang perlu dalam komunikasi pasukan adalah keterbukaan, berhujah menggunakan fakta dan bukti. Betul atau salah seseorang itu adalah kerana kerja dan bukannya peribadi.

Namun, yang normal terjadi kepada orang muda adalah keberanian mereka untuk meredah tanpa bimbang akibatnya. Bagi mereka, kalau silap, mereka boleh perbaiki. Jika perlu buat semula, mereka sanggup lakukan.

Bagi saya, itu tidak perlu. Pengalaman menjadikan saya dapat membaca dan menelah jantan atau betinanya ikan, mana kaca dan mana satu intan atau mana satu jalan ke perigi buta atau laluan ke lembah segar menghijau.

Baru-baru ini, pasukan saya menyiapkan video 90 saat Casa de Madani, sebuah restoran fine dining lima bintang yang menyediakan masakan halal. Restoran itu adalah antara belasan restoran dan kiosk makanan yang tersedia di Malakat Mall yang terletak di Cyberjaya.

Selama ini tiada restoran fine dining halal terdapat di Malaysia kerana kesemuanya menyediakan masakan dan biasanya menjual minuman keras. Pastilah satu-satunya restoran fine dining halal itu akan menjadi tumpuan orang Islam yang ingin menjamu selera dalam suasana santai lagi kelas.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab restoran tersebut perlu mempamerkan imej yang berprestij, maka video yang terhasil dibikin begitu teliti. Setelah siap, muncullah polemik di WhatsApp kumpulan.

Oleh sebab video itu begitu menarik, ramai yang tidak sabar hendak memuat naik ke laman web dan media sosial. Saya melarang dengan alasan, video masih belum lagi ditunjukkan kepada semua.

Persembahan

Namun, ada dalam kalangan mereka yang berasakan ada banyak lagi video promosi Casa de Madani yang akan dibuat selepas ini. Jadi, apa salahnya memuat naik video yang unik dan menarik itu? Sambil tersenyum, saya menjawab mesej polemik ‘kesedapan makanan itu bukan terletak pada masakan tetapi juga pada cara hidangan.’

Nasi putih, ikan goreng, sayur kubis dan telur masin dianggap hidangan biasa jika kesemuanya diletak di dalam pinggan ayan tetapi ia akan menaikkan selera apabila nasi, ikan, sayur dan telur asin itu masing-masing dihidang dalam pinggan dan piring yang berasingan.

Jika video yang cantik itu dimuat naik pada bila-bila masa seperti lain-lain status tanpa dipratonton, maka video yang dibuat dengan begitu teliti akan dipandang sambil lewa dan mudah dilupa.

Sebaliknya, bila ia ditayangkan secara khas sebelum dimuat naik untuk tontonan umum, ia akan merangsang fikiran dan dihayati, langsung mendapat respons yang positif kerana ada elemen surprise.

Dunia pemasaran adalah dunia persembahan. Setiap persembahan itu disampaikan dengan gaya yang relaks tetapi mengandungi satu persatu kejutan. Ia tidak boleh dilakukan secara sembrono.

Umpama seorang ahli silap mata yang mampu mengeluarkan seekor demi seekor arnab dari dalam topinya, begitulah juga sesuatu pemasaran. Satu gerakan akan diikuti dengan gerakan yang lain. Ia adalah seni gerakan yang penuh memukau dan mempesona.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!