Anak muda kuasai jalanan di Bangkok, Hong Kong

Gambar fail menunjukkan para penunjuk perasaan menggunakan payung dalam tunjuk perasaan anti-Beijing di Hong Kong. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para penunjuk perasaan menggunakan payung dalam tunjuk perasaan anti-Beijing di Hong Kong. - Foto AFP
A
A
A

HONG KONG dan Bangkok telah menyaksikan jalan raya di kedua-dua bandar raya itu dipenuhi dengan tindakan berani para penunjuk perasaan untuk berhadapan dengan golongan elit.

Di Hong Kong, para penunjuk perasaan menentang pelaksanaan undang-undang keselamatan baharu yang diperkenalkan oleh pemerintah China manakala di Bangkok, mereka meminta pembaharuan terhadap institusi beraja Thailand.

Seorang penganalisis politik di Universiti Thammasat, Bangkok, Voranai Vanijaka berkata, golongan muda telah berkongsi 'nilai-nilai budaya' yang sama semasa melakukan tunjuk perasaan di kedua-dua bandar raya berkenaan.

"Tunjuk perasaan itu adalah bagi kebebasan dan perjuangan berani untuk satu perubahan," katanya kepada AFP.

Golongan muda yang tidak mempunyai cara lain telah memilih demonstrasi keras untuk mendesak kerajaan masing-masing bagi melakukan perubahan atas nama kebebasan dan demokrasi.

Sebelum ini, Beijing menolak desakan supaya melaksanakan amalan demokrasi dan telah melaksanakan undang-undang keselamatan baharu bagi memadamkan golongan penentang kerajaan di Hong Kong.

Rancangan untuk memperkenalkan rang undang-undang itu oleh China adalah pada bulan Mei lalu sehingga ia mengakibatkan tunjuk perasaan ganas berlaku di Hong Kong selama berbulan-bulan.

Undang-undang itu dipercayai diperkenalkan bagi memerangi aktiviti untuk memisahkan pulau tersebut yang juga hab kewangan Asia daripada penguasaan China, gerakan bagi melemahkan pemerintahan sedia ada dan aktiviti keganasan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Thailand, tunjuk perasaan bagi menuntut supaya pembaharuan dilakukan ke atas institusi beraja negara itu masih gagal memenuhi matlamat mereka.

Setakat ini masih lagi tidak jelas bagaimana pihak istana akan bertindak balas terhadap protes golongan muda itu.

Polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan tunjuk perasaan para pelajar yang menuntut pembaharuan dilakukan ke atas monarki di Bangkok pada Ahad lalu. - Foto AFP
Polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan tunjuk perasaan para pelajar yang menuntut pembaharuan dilakukan ke atas monarki di Bangkok pada Ahad lalu. - Foto AFP

Bagaimanapun, pergolakan yang pernah berlaku di negara itu sebelum ini seperti krisis politik pada tahun 2005 dan 2006 sehingga membawa kepada satu rampasan kuasa tentera memainkan peranan penting dalan membuat keputusan bagi mengakhiri kemelut terbaharu di Thailand.

Dalam protes kali ini, para penunjuk perasaan turut meminta supaya Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha yang memegang jawatan itu selepas beliau dan partinya memenangi pilihan raya pada tahun lalu meletakkan jawatan dan Parlimen dibubarkan.

Para penunjuk perasaan juga mengingkari perintah darurat yang dilaksanakan di Bangkok pada Jumaat lalu apabila kira-kira 20,000 orang dilaporkan berhimpun bagi menuntut pembaharuan dilaksanakan ke atas institusi beraja dan bukannya menghapuskan sistem monarki negara itu pada Ahad lepas.

Sehubungan itu, Prayut Chan-o-cha berkata, satu sesi khas Parlimen akan dipanggil untuk membincangkan cara untuk meredakan ketegangan di negara itu.

Ia dilakukan kerana sebelum ini Prayut pernah berkata, bahawa Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dikatakan memintanya supaya tidak menangkap sesiapa sahaja dengan menggunakan undang-undang kesalahan menghina raja dikenali sebagai lese majeste.

Sebelum ini, pengkritik raja didapati hilang tanpa dikesan dengan pertubuhan Human Right Watch merekodkan sekurang-kurangnya terdapat sembilan kes melibatkan aktivis di seberang laut.

Dalam satu tentangan terbaharu, seorang pengkritik raja, Wanchalearm Satsaksit dikatakan diculik di Kemboja pada Jun lalu dan tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak itu.

Ribuan penunjuk perasaan menggunakan payung dan memakai ponco dalam tunjuk perasaan meminta pembaharuan ke atas institusi beraja di Bangkok pada Ahad lalu. - Foto AFP
Ribuan penunjuk perasaan menggunakan payung dan memakai ponco dalam tunjuk perasaan meminta pembaharuan ke atas institusi beraja di Bangkok pada Ahad lalu. - Foto AFP

Dalam pada itu, beberapa pemimpin protes di Thailand kebanyakannya ditangkap pada minggu lalu masih berumur dalam lingkungan 20-an dan lebih bersedia menggunakan taktik konfrontasi antarabangsa berbanding dengan golongan lebih tua daripada mereka.

Para penunjuk perasaan Thailand memakai topi, topeng gas, gogal dan payung bagi menghadapi tembakan meriam air pada tunjuk perasaan minggu lalu yang pernah digunakan oleh penunjuk perasaan di Hong Kong pada tahun lalu.

Dalam pada itu, difahamkan para penunjuk perasaan muda di Hong Kong dan Bangkok memang saling berbincang dan bertukar-tukar taktik di atas talian untuk mendapat sokongan selain menggunakan mesej rahsia menggunakan platform media sosial untuk mengerakkan aktiviti mereka.

Mereka juga menggunakan tunjuk perasaan dalam masa yang singkat terutamanya selepas pihak berkuasa menangkap pemimpin utama mereka.

Di Hong Kong, simbol 'lima tuntutan' menjadi slogan manakala di Bangkok, simbol tiga jari daripada filem Hunger Games digunakan dalam tunjuk perasaan tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!