Perangi jenayah cuci wang haram
SEJAK seminggu lalu, tiba-tiba rakyat Malaysia meriah bercerita mengenai sindiket Macau Scam dan jenayah ‘mencuci’ duit haram.
Bermula dengan kisah pasangan artis terkenal dengan produk minuman bertemakan lebah yang disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kemudian bersambung pula dengan satu lagi pasangan kaya bergelar ‘Datuk Seri’.
Pasangan itu menjadi buah mulut ramai gara-gara gaya kemewahan hidup luar biasa yang turut ditayangkan di media sosial.
Beberapa hari kemudian SPRM dan polis dilanda ribut apabila seorang lagi suspek bergelar ‘Datuk Seri’ yang sedang disiasat lolos daripada tahanan SPRM dengan cara melompat dari tembok di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Hairan dan ajaib bagaimana ‘Datuk Seri’ itu melakukannya hanya pihak berkuasa ada jawapan yang tepat. Namun pihak berkuasa, baik polis dan SPRM perlu memburu lelaki itu sehingga diberkas semula bagi menutup pelbagai tohmahan berkaitan insiden lompat tembok itu.
Tidak patah semangat dengan insiden itu semalam pihak berkuasa terus membongkar dan memanggil lebih ramai individu termasuk artis yang dikaitkan dengan aktiviti cuci duit haram.
Yang pasti, perbuatan jahat sindiket Macau Scam dan jenayah cuci duit haram sememangnya perlu diperangi habis-habisan. Ia telah sekian lama menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat.
Bayangkan mengikut statistik dikeluarkan polis, pada 2019 saja, terdapat 28,508 kes scam dan 18,130 pembukaan akaun membabitkan jumlah wang RM2.5 bilion.
Duit haram daripada ekonomi haram sebanyak RM2.5 bilion itulah yang mahu dihalalkan untuk diserap masuk ke dalam ekonomi sebenar.
Namun, lebih menakutkan apabila jenayah cuci wang itu melibatkan banyak ekonomi gelap lain seperti dadah, pelacuran, perjudian, rompakan dan rasuah.
Maka tidak hairanlah jenayah cuci wang haram sebenarnya mencuci nilai wang ratusan bilion. Dan ia harus dilumpuhkan kerana perbuatan penjenayah melaburkan wang haram dalam perniagaan yang sah boleh membunuh ekonomi sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!