Cadangan ujian swab pekerja kelirukan majikan
SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) keliru dengan cadangan kerajaan untuk mewajibkan pekerja di zon merah untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sebelum ini pernah timbul isu yang sama apabila kerajaan terpaksa menarik balik arahan dan mengehadkan pemeriksaan hanya kepada sektor pembinaan dan keselamatan dan bukan di seluruh negara.
"Sebanyak 10 peratus pekerja swasta dan awam yang terlibat dengan arahan ini dan sudah tentu menjejaskan operasi mereka.
"Jadi MEF berharap agar kerajaan menjelaskan pihak mana yang perlu bayar kos saringan supaya isu yang pernah timbul sebelum ini tidak berulang semula," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan pekerja awam dan swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu hadir ke pejabat dan boleh bekerja di rumah bagi mengurangkan pergerakan pekerja di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah.
Menurutnya, tindakan itu diambil bagi memutuskan rantaian Covid-19 di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menganggarkan seramai satu juta pekerja dapat dikurangkan dari bekerja di pejabat terutama di sektor industri dan perkilangan.
Keputusan itu dijangka melibatkan 800,000 pekerja dari sektor industri di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sabah, manakala bagi penjawat awam pula seramai 200,000 orang. Bagi yang perlu terus bekerja mereka perlu menjalani ujian swab dan akan ditanggung oleh Perkeso bagi yang mencarum.
ARTIKEL BERKAITAN: Sejuta pekerja bekerja dari rumah bermula Khamis ini
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, arahan kerajaan itu sudah pasti akan menyukarkan keadaan sedia ada kerana ia akan melibatkan ramai pekerja dan majikan, tambah lagi Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah hab ekonomi Malaysia.
"Namun kami di MEF akur dan menyokong apa yang kerajaan lakukan dalam hal ini iaitu untuk membendung dan memutuskan rantaian Covid-19.
"Langkah ini penting dan semua harus bersatu untuk mengekang penularan wabak tersebut," ujar beliau.
Sementara itu, Shamsuddin berkata, pihaknya bagaimanapun berharap langkah diambil kerajaan itu tidak akan berlanjutan lama bagi memastikan kegiatan ekonomi dapat diteruskan seperti biasa walaupun dengan langkah lebih berhati-hati.
"Jika terlalu lama (bekerja dari rumah) kita tak mahu apa yang berlaku sewaktu pelaksanaan PKP seluruh negara dahulu berulang di mana berlaku kerugian RM42 bilion setiap hari.
"Walaupun kali ini ia hanya tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah, ia tetap akan memberi kesan," katanya.
[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
Posted by Sinar Harian on Tuesday, October 20, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!