JPJ Kelantan laksana rondaan sempena Tahun Baharu Cina
KOTA BHARU - Seramai 280 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melaksanakan rondaan 24 jam sempena Op Tahun Baharu Cina (TBC) bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini.
Pengarahnya, Mahasan Mustapha berkata JPJ Kelantan juga mempunyai unit rondaan bermotosikal yang mana anggota berkenaan akan bertindak merakam gambar mana-mana kenderaan yang melakukan kesalahan sebelum notis saman dikeluarkan.
Beliau berkata selain itu, pihaknya turut membuat pemeriksaan di depoh-depoh bas di setiap jajahan sejak 22 Jan lepas sempena operasi berkenaan yang bertujuan mengurangkan kemalangan dengan strategi utama memberi tumpuan kepada pengangkutan awam.
"Dalam operasi ini kita akan memeriksa pemandu dan bas itu sendiri. Bagi pemandu kita akan melakukan pemeriksaan dokumen dan membuat ujian saringan air kencing.
"Bagi bas pula kita akan memeriksa dari segi teknikal termasuk cermin, tayar dan lampu bagi mengetahui tahap spesifikasi bas berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menjalankan Op Sisih dan pelancaran Op Tahun Baharu Cina (TBC) di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, malam tadi.
Operasi tersebut turut disertai Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PUSPAKOM, Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
Mahasan berkata operasi turut memberi penekanan terhadap lapan kesalahan utama iaitu tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keselamatan, memandu di lorong kecemasan, memandu berterusan di lorong kanan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit dan membawa lebih muatan serta penggunaan tayar celup tidak mengikut piawaian.
Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan sejak beberapa hari lepas, pengusaha bas dilihat sudah menunjukkan usaha yang sesuai bagi mengurangkan kesalahan dan sekiranya ada kesalahan yang dikesan mereka akan diberikan notis selama tujuh hari untuk membuat penambahbaikan.
Dalam pada itu, Mahasan berkata terdapat pemandu bas ekspres yang melakukan kesalahan memotong di garisan berkembar yang boleh menyebabkan tindakan tersebut terdedah kepada kemalangan.
“Kelakuan pemandu berkenaan dikesan oleh anggota JPJ yang melakukan penyamaran sebagai penumpang di dalam bas berkenaan.
“Pada kebiasaannya penyamaran adalah bagi mengenal pasti pemandu yang memandu sambil menggunakan telefon tangan ataupun memandu melebihi had laju namun kini kesalahan memotong di garisan berkembar turut dikesan,” katanya.
Beliau berkata pemandu bas berkenaan boleh dikenakan tindakan saman dan dikompaun maksimum sebanyak RM300 sebaik kesalahan dikesan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!