AS saman Google isu monopoli secara haram enjin carian

Enjin carian popular, Google kini berdepan saman daripada kerajaan Amerika Syarikat yang menuduhnya mengekalkan monopoli secara haram dalam pencarian maklumat di internet. - Foto AFP
Enjin carian popular, Google kini berdepan saman daripada kerajaan Amerika Syarikat yang menuduhnya mengekalkan monopoli secara haram dalam pencarian maklumat di internet. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam memfailkan satu saman yang menuduh Google mengekalkan 'monopoli secara haram' dalam pencarian maklumat di online dan pengiklanan dalam kes antiamanah terbesar di negara itu sejak berdekad-dekad lalu.

Tindakan itu kemungkinan menyebabkan syarikat gergasi di Lembah Silicon itu dipecah-pecahkan.

Kes tersebut yang mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun untuk diselesaikan dan mewujudkan satu perbalahan baharu antara kerajaan AS dengan syarikat teknologi gergasi sekali gus memberi implikasi terhadap sektor tersebut.

Timbalan Peguam Negara, Jeffrey Rosen berkata, kes itu difailkan bersama ketua peguam negeri di 11 buah negeri ke atas Google yang menjadi dominan dalam ekosistem online.

"Google ialah pintu masuk ke internet. Namun, ia masih mengekalkan monopolinya melalui amalan eksklusifnya yang menjejaskan persaingan," kata Rosen kepada para pemberita.

Tuntutan saman itu menyatakan ia melibatkan satu perjanjian yang memerlukan enjin carian Google dimasukkan ke dalam sesuatu peralatan sehingga membuatkan sebahagian daripada aplikasinya mustahil untuk dipadamkan.

Kerajaan mendakwa Google membayar berbilion-bilion dolar untuk mengekalkan kedudukan itu sekali gus mengukuhkan amalan monopolinya.

Tuntutan saman itu difailkan di Washington menyatakan bahawa tindakan Google tersebut menutup peluang para pesaingnya dan mencadangkan supaya mahkamah menimbangkan satu cara penyelesaian yang berkesan dalam kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pemfailan itu menggesa pihak mahkamah memerintahkan Google berhenti daripada amalan antipersaingannya dan mencadangkan perubahan 'struktur' dilakukan ke atas syarikat berkenaan.

Ini bermakna syarikat tersebut akan dipecah-pecahkan.

Bagaimanapun, Google menganggap tuntutan saman itu 'amat cacat'.

"Orang ramai menggunakan Google kerana mereka yang memilih bukan kerana dipaksa atau gagal mencari alternatif lain," kata seorang peguam utama Google, Kent Walker dalam blognya.

"Tuntutan undang-undang itu tidak membantu para pengguna. Sebaliknya, ia akan menyebabkan peningkatan harga telefon, membantu enjin carian lain yang berkualiti rendah dan menyusahkan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan enjin carian Google

yang mereka mahukan," tambahnya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!