Sheikh Al-Azhar tegaskan hina agama akan cetus rasa kebencian

Imam Besar Al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed al-Tayeb membidas kejadian kepala seorang guru dipenggal oleh remaja berusia 18 tahun dalam teks ucapan yang dibacakan di Rom, Itali semalam.
Imam Besar Al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed al-Tayeb membidas kejadian kepala seorang guru dipenggal oleh remaja berusia 18 tahun dalam teks ucapan yang dibacakan di Rom, Itali semalam.
A
A
A

ROM - Imam Besar Al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed al-Tayeb membidas kejadian kepala seorang guru dipenggal di Perancis tetapi menyatakan menghina agama atas nama kebebasan bersuara adalah satu 'jemputan kepada kebencian', katanya dalam satu teks ucapannya yang dibacakan di Rom semalam.

Ucapan itu ditulis oleh Sheikh Ahmed dari Universiti Al-Azhar iaitu institusi agama Islam mazhab Sunni yang berprestij dan dibacakan di Dataran Capitol, Rom di hadapan para pemimpin Kristian, Yahudi dan Buddha.

Turut hadir ialah Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Francis dan Ketua Rabi Yahudi Perancis.

Para pemimpin agama itu datang untuk menandatangani satu gesaan tentang keamanan.

"Sebagai seorang Muslim dan Sheikh Al Azhar, saya mengisytiharkan bahawa Islam, ajarannya dan Nabinya tidak bersalah dalam jenayah keganasan ini.

"Pada masa sama, saya menekankan bahawa menghina agama dan menyerang simbol-simbol suci mereka di bawah nama kebebasan bersuara merupakan satu intelektual berat sebelah dan membuka kepada undangan yang membawa kebencian," kata Sheikh Ahmed dalam teks ucapannya.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Tertinggi Frateniti Manusia, Mohamed Abdelsalam Abdellatif, membacakan ucapan tersebut.

Kepala guru itu, Samuel Paty, 47, dipenggal oleh seorang remaja etnik Chechen berusia 18 tahun, Abdullakh Anzorov ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah rendah tinggi di Conflans-Sainte-Honorine, dekat Paris.

Artikel Berkaitan:

Sebelum kematiannya, Paty menunjukkan kartun-kartun Nabi Muhammad SAW kepada para pelajarnya sehingga menimbulkan kemarahan seorang bapa yang kemudian mengetuai kempen menentang guru tersebut.

Bapa itu juga didakwa mewujudkan hubungan dengan pembunuh guru tersebut sehingga menyebabkan kejadian tersebut berlaku, menurut satu siasatan yang telah didedahkan.

Pembunuh itu pula telah menyiarkan imej-imej guru berkenaan setelah kepalanya dipenggal di Twitter sebelum Anzorov mati ditembak polis.

"(Perbuatan) Pengganas ini tidak menggambarkan agama yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW," katanya dalam teks ucapan tersebut.

Polis telah menangkap 16 orang termasuk seorang individu yang radikal dan empat anggota keluarga bagi membantu siasatan polis dalam kes tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!