50 tahun hidup tanpa bekalan elektrik

Ripin hanya mampu termenung sambil melihat papan meter yang kosong.
Ripin hanya mampu termenung sambil melihat papan meter yang kosong.
A
A
A

RANTAU PANJANG - [DIKEMASKINI] Kehidupan lebih 20 keluarga dari Kampung Gual Rimau, Bukit Tandak di sini tidak ubah seperti berada di dalam 'gua' apabila hidup tanpa kemudahan bekalan elektrik.

Dakwa penduduk, masalah itu sudah berlarutan lebih 50 tahun dan mengejutkan beberapa kawasan sekitar kampung berkenaan sudah menikmati kemudahan itu sejak sekian lama.

Lebih memilukan penduduk mendakwa setiap kali tibanya musim Pilihan Raya Umum (PRU) pelbagai pihak akan tampil dan berlagak seperti hero sambil menabur janji untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Namun semua itu hanyalah 'omong kosong' menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan bagi mengelakkan mereka bergelap pada waktu malam.

Seorang penduduk, Ripin Jusoh,70, berkata, disebabkan masalah itu ada sebilangan penduduk telah membuat keputusan untuk mengosongkan rumah mereka dan menyewa di penempatan lain bagi mendapatkan bekalan elektrik.

Ripin dan penduduk di Gual Rimau bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Ripin dan penduduk di Gual Rimau bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

"Kebanyakan mereka yang masih setia di sini (Kampung Gual Rimau) bergantung penuh kepada generator pada waktu malam untuk mendapatkan bekalan.

"Nak pasang pada waktu siang memerlukan modal yang cukup besar. Satu tong minyak diesel yang berisi padu lapan liter hanya bertahan selama tiga hari sahaja (jika diguna pada waktu malam)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemudahan generator itu memberikan nikmat kepada penduduk untuk menggunakan barangan elektrik yang menjadi 'perhiasan' pada waktu siang.

Pada siang hari kawasan penempatan di Gual Rimau sunyi sepi.
Pada siang hari kawasan penempatan di Gual Rimau sunyi sepi.

Katanya, kebanyakan penduduk terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membeli generator yang bernilai RM3,000.

Seorang lagi penduduk, Suhaimi Ismail, 50, berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera masalah yang dihadapi oleh mereka.

Menurutnya, sebelum ini dia menggunakan pelita untuk mendapatkan cahaya kerana tidak mampu membeli generator.

Suhaimi Ismail
Suhaimi Ismail

"Selepas bekerja keras, akhirnya saya dapat membeli sebuah generator untuk memastikan rumah diterangi cahaya pada waktu malam.

"Boleh katakan hampir kesemua rumah di sini mempunyai pendawaian elektrik, tetapi ia lebih kepada 'perhiasan' semata-mata," katanya.

Katanya, besar harapan mereka semua untuk menikmati bekalan elektrik seperti mana penduduk lain di Rantau Panjang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff ketika dihubungi Sinar Harian memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, isu itu bukanlah perkara baharu, malah pihaknya sebelum ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut termasuklah memaklumkannya kepada pihak terlibat.

"Antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata, isu utama yang membelenggu penduduk di kawasan tersebut ialah melibatkan masalah pemasangan tiang elektrik kerana jaraknya yang terlalu jauh ke dalam.

Katanya, lebih 50 batang tiang elektrik diperlukan untuk sampai ke Kampung Gual Rimau.

"Bukan itu sahaja, kita turut berdepan dengan masalah untuk menanam tiang-tiang elektrik ke kawasan tersebut kerana tidak mempunyai rizab jalan.

"Kebanyakan tanah ini kawasan kebun orang tua-tua dahulu yang tidak mempunyai rizab jalan," katanya.

Menurutnya, beliau telah merujuk perkara itu kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas dan hasil maklumat yang diperoleh mendapati tanah di kawasan itu mempunyai ramai pemilik.

"Ketika ini kita berdepan kesukaran mengesan pemilik bagi mendapatkan keizinan bagi menjalankan kerja-kerja menanam tiang-tiang tersebut.

"Mengikut permakluman terbaharu daripada Ketua Jajahan Pasir Mas pihaknya telah hantar surat kepada pemilik tanah namun gagal mendapat respons," katanya.

Katanya, beliau sekali lagi akan mengemukakan permohonan berkait masalah itu kepada pihak KPLB bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!