Dua warga Pakistan dijel dan didenda, kutip derma palsu
KUALA TERENGGANU - Tindakan berani dua warga Pakistan mengutip derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengundang padah apabila dijatuhi hukuman lima bulan penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.
Bukan itu sahaja, mereka masing-masing berusia 23 tahun dari Sargodha, Pakistan, turut dipenjara lima bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 90 (4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 kerana menjalankan aktiviti pungutan derma tanpa kebenaran daripada Maidam.
Mengikut fakta kes, satu pemeriksaan dilakukan di sekitar Kampung Pengkalan Setar, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, pada 22 Januari lalu sebelum terserempak dengan dua lelaki berjubah putih dan memegang fail berada di kawasan rumah penduduk.
Sejurus dihampiri dan bertanyakan tujuan berada di situ, mereka mengatakan untuk membuat pungutan derma bagi disalurkan kepada Madrasah Tahfiz Al-Quran Kashmir, Pakistan.
Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan surat kebenaran memungut derma dan hasil soal siasat, mereka membuat pungutan tanpa kebenaran sebelum kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah dihadapan Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof.
Sementara itu, dalam penghakimannya, Mohd Fakhruddin berkata, perbuatan mereka masuk ke negara ini semata-mata untuk mengutip derma menggunakan nama 'kebajikan' adalah sangat melampau.
"Perbuatan kamu melampau kerana sanggup melanggar peraturan dan membuat penipuan dengan menggunakan nama Islam.
"Kamu langsung tidak hormat dan berani melakukan kesalahan secara terbuka di tempat awam sedangkan kamu sekarang berada di kawasan negara yang mempunyai undang-undang dan raja," katanya.
Mohd Fakhruddin turut mengharapkan hukuman yang di buat dapat memberi pengajaran dan menimbulkan ketakutan terutama kepada masyarakat luar agar tidak melakukan perbuatan sama selepas ini.
Sepanjang prosiding pendakwaan dan penghakiman menggunakan Bahasa Inggeris disebabkan kedua-dua mereka hanya memahami dan boleh menggunakan bahasa berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!