105.51 tan metrik makanan diperiksa di pintu masuk Kelantan

Pegawai JKNK bersama anggota yang terlibat dalam Operasi Bersepadu Sempadan melakukan pemeriksaan.
Pegawai JKNK bersama anggota yang terlibat dalam Operasi Bersepadu Sempadan melakukan pemeriksaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 105.51 tan metrik melibatkan 70 konsainan makanan bernilai RM109,509 menjalani pemeriksaan keselamatan dan kualiti di pintu masuk ke negeri Kelantan dalam Operasi Bersepadu Sempadan, semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dalam operasi tersebut satu konsainan makanan dengan nilai RM19,063 dikenakan tindakan pengalihan sementara (undertaking) konsainan makanan import untuk pelabelan semula di bawah Seksyen 4(13) Akta Makanan 1983 kerana kesalahan pelabelan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurutnya, berikutan itu syarikat berkenaan dinasihatkan untuk membuat pelabelan semula bagi konsainan makanan yang ditahan.

“Semalam JKNK melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menjalankan Operasi Bersepadu Sempadan bersama agensi di pintu masuk negeri Kelantan bagi memastikan makanan yang diimport ke negara ini mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan- Peraturan Makanan 1985.

“JKNK sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini. Jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan makanan yang dibawa masuk ke Malaysia adalah selamat dan menepati peraturan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata, operasi tersebut melibatkan 20 anggota Kementerian Kesihatan Malaysia dari tiga Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) iaitu PMA Rantau Panjang, PMA Pengkalan Kubor dan juga PMA Bukit Bunga.

Selain itu katanya, operasi itu melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan juga Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang membabitkan 20 kekuatan anggota.

“Tumpuan utama dalam operasi dijalankan adalah bagi membuat kawalan makanan import meliputi aktiviti pemeriksaan dan pensampelan konsainan makanan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, pemeriksaan label terhadap makanan import berbungkus “Packed Food: Finish Product” (PFFP) untuk jualan terus di pasaran tempatan telah dibuat,” katanya.

Tambah Dr Zaini, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan import di pintu masuk negara dan operasi seumpama ini akan diadakan dari masa ke masa.

“Menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Jabatan ini sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://jknkelantan.moh.gov.my/v3/ atau Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan https://www.facebook.com/HealthofKelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!